London: Pemain tengah Belanda, Donny van de Beek, mengesahkan tempoh empat tahun yang bermasalah di Manchester United sudah berakhir.
Van de Beek melalui tempoh yang suram di United selepas berhijrah dari Ajax pada tahun 2020 dan dilaporkan akan menyertai kelab Sepanyol, Girona.
Pemain berusia 27 tahun itu bergelut untuk memberi impak di Old Trafford selepas perpindahan bernilai £34 juta (RM204.7 juta) dan dua kali dipinjamkan.
Dia menghabiskan separuh kedua musim lalu dengan dipinjamkan di kelab Jerman, Eintracht Frankfurt dan juga pernah dipinjamkan ke Everton semasa kempen 2021-22.
Van de Beek melakukan 62 penampilan dalam semua pertandingan untuk United namun hanya menjaringkan dua gol dan gagal membina reputasi hebat seperti ketika di Ajax.
Girona, yang akan bermain dalam Liga Juara-Juara musim depan, dipercayai bersedia membayar sekitar £4 juta (RM24 juta) untuk menandatangani Van de Beek, yang mengucapkan selamat tinggal penuh emosi kepada Manchester.
“Keluarga Manchester United yang dihormati. Hari ini adalah hari yang tidak dapat dilupakan kerana khidmat saya dengan kelab ini akan berakhir.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan anda sepanjang tahun. Sejak tiba di Manchester United, saya berasa amat dialu-alukan dan amat bersyukur.
“Terima kasih kepada semua di kelab kerana membuatkan saya berasa seperti di rumah sendiri. Terima kasih khas kepada semua peminat yang menjadikan tahun-tahun sebelum ini suka untuk dilupakan.
“Selain bola sepak, kelahiran dua anak saya di sini memastikan Manchester akan sentiasa mendapat tempat istimewa di hati kami. Semoga berjaya kepada semua, kita akan bertemu lagi,” tulisnya di Instagram.
© New Straits Times Press (M) Bhd