Van sekolah langgar belakang treler berhenti akibat masalah enjin

Van sekolah langgar belakang treler berhenti akibat masalah enjin

farid_noh@bh.com.my

Johor Bahru: Polis memaklumkan nahas membabitkan 21 pelajar sekolah di Lebuhraya Utara-Selatan dekat susur keluar Bandar Dato Onn di sini, semalam berlaku ketika van dinaiki mereka melanggar belakang treler yang berhenti di lorong akibat masalah enjin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada 6.23 petang dan turut mengesan video tular nahas itu di media sosial.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku kira-kira 2 petang, membabitkan van sekolah dipandu lelaki tempatan berusia 46 tahun dari arah susur Bandar Dato Onn menghala utara Johor Bahru, sebelum melanggar belakang treler yang berhenti di lorong itu kerana masalah enjin.

“Akibat pelanggaran, pemandu van bersama dua daripada 21 pelajar yang berada dalam kenderaan itu mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Sultan Ismail.

“Pemandu treler berusia 32 tahun tidak cedera,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, kemalangan itu disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan.

Terdahulu media melaporkan pemandu van sekolah cedera akibat tersepit di tempat duduk pemandu selepas kenderaan berkenaan melanggar belakang treler.

Mangsa berjaya dikeluarkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dalam tempoh setengah jam, sebelum dihantar ke hospital.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top