Vida simpati nasib menimpa Abby, Norman

Vida simpati nasib menimpa Abby, Norman

KUALA LUMPUR – Usahawan terkenal, Datuk Seri Vida rasa simpati dengan nasib menimpa pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi, selepas kisah anak perempuan mereka itu didakwa berkahwin dengan suami orang menjadi buah mulut netizen.

Pada masa sama, ibu tunggal itu turut geram memikirkan perilaku Marissa yang dikatakan melangsungkan perkahwinan secara rahsia dengan suami orang dikenali sebagai Aslam di Songkhla, Thailand sejak Disember tahun lalu.

“Allah, anak-anak kenapalah buat begitu pada ibu bapa?

“Saya pun ada anok tino (anak perempuan). Lain anak, lain ujiannya. Semoga dipermudahkan,” tulis Vida menerusi satu hantaran dalam Instagram miliknya.

Dalam video yang dikongsikan, Vida atau nama lengkapnya Hasmiza Othman, 53, turut meluahkan rasa kesal dengan tindakan Marissa apabila gadis berusia 19 tahun itu menjadi penyondol dalam rumah tangga orang lain.

Malah, ibu tunggal kepada dua orang cahaya mata itu turut berasa geram selepas Marissa menjadi isteri kedua kepada kepada lelaki yang disifatkan tidak ada duit itu.

“Hey! Saya sebagai mak, geramnya. Kenapalah bernikah dengan budak seperti itu? Bukannya ada duit.

“Mu (Marissa) jadi madu orang (isteri kedua), menyondol? Kenapalah? Punya ramai lagi jantan kaya, muka lagi comel (kacak), boleh ambil, otak mu letak dekat lutut ke?

“Saya sebagai mak, rasa sakit. Tak tahulah mak ayah sebenar dia (Abby dan Norman) rasa macam mana. Geramnya, anak kita jaga, lahirkan punyalah cantik, pergi nikah dengan suami orang. Janganlah,” kata Vida.

Namun, terdapat juga segelintir komen mengecam tindakan Vida apabila menggelar Marissa sebagai penyondol dan memintanya untuk tidak masuk campur dengan masalah orang lain.

Sejak kelmarin, nama Marissa atau Marissa Dania Hakim kembali menjadi bualan ramai apabila didakwa sudah bernikah dengan Aslam yang juga berstatus suami orang secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 27 Disember lalu.

Pernikahan tersebut berlangsung ketika isteri pertama Aslam iaitu Umisya Mazlan sedang menunaikan umrah di Tanah Suci.

Difahamkan, Abby dan Norman ada membuat bertemu empat mata dengan keluarga Aslam dan meminta anaknya supaya berpisah.

Sehingga kini, Aslam dan Marissa masih belum mendaftarkan perkahwinan mereka secara sah di Malaysia.  – MalaysiaGazette