[VIDEO] Emosi Syasya Rizal Terkesan Netizen Dakwa Lahir Anak Luar Nikah – “Susah Kawal Emosi Bila Orang Sentuh Yassir” 

[VIDEO] Emosi Syasya Rizal Terkesan Netizen Dakwa Lahir Anak Luar Nikah – “Susah Kawal Emosi Bila Orang Sentuh Yassir” 

Penyanyi dan bekas anggota kumpulan Dolla, Syasya Rizal mengakui dirinya terkesan apabila segelintir netizen yang bukan sahaja melemparkan komen negatif terhadap dirinya, malah turut menyerang anaknya, Muhammad Yassir Hayyan.

Walaupun berdepan kecaman, Syasya atau nama sebenarnya Norsyasya Afiqah Shahrizal, 24, mengakui kesilapannya kerana terlalu cepat bertindak balas terhadap kata-kata negatif tersebut.

“Saya tak kisah kalau orang bercakap buruk tentang saya, tapi bila mereka mula melibatkan anak, itu sesuatu yang saya tak boleh terima,” luahnya ketika disoal mengenai perasannya terhadap kritikan netizen yang mendakwa dirinya hamil anak luar nikah.

“Bila orang bercakap tentang saya, saya boleh abaikan. Tapi bila mereka menyentuh tentang anak, susah untuk saya kawal emosi. Tapi saya sedar, salah saya juga kerana membalas komen tersebut,” katanya lagi.

Malah, suaminya, Nasrullah Mohd. Sapie, turut menasihatinya supaya tidak ambil peduli dengan kecaman di media sosial.

“Suami selalu ingatkan supaya jangan layan. Katanya, lebih baik biarkan sahaja. Tapi saya ni jenis cepat melatah,” katanya sambil mengakui dirinya perlu lebih berhati-hati dalam memberi reaksi terhadap isu sebegini.

Syasya berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis berbuka puasa bersama anak yatim anjuran Universal Music di Hotel Le Meridien, Petaling Jaya, pada Rabu.

Mengulas lebih lanjut, Syasya tidak mahu mengambil pusing terhadap segala pandangan negatif netizen terhadapnya kerana orang di sekelilingnya lebih mengetahui kisah sebenar.

“Saya sedar, setiap orang ada pandangan masing-masing. Mereka mentafsir sesuatu cerita mengikut perspektif sendiri. Cukuplah orang sekeliling yang tahu perkara sebenar, itu sudah memadai,” katanya.

Syasya menegaskan dia mahu melindungi Yassir, namun dalam masa yang sama tidak mahu menjadi ibu yang terlalu mengawal.

“Memang naluri seorang ibu ingin melindungi anak. Tapi saya tak mahu terlalu mengongkong. Saya mahu dia membesar dan mengenali dunia dengan cara tersendiri,” jelasnya.

Sebelum ini, seorang individu tampil mendakwa Syasya hamil selepas meninggalkan kumpulan Dolla, sekali gus mendesak dirinya untuk berkahwin dengan suami pada April tahun lalu.

Untuk rekod, Syasya secara rasmi mengumumkan pengundurannya daripada kumpulan Dolla pada 8 April tahun lalu atas alasan peribadi.

Scroll to Top