[VIDEO] PRN Johor : Pas Johor teruskan gerak kerja, tunggu keputusan pusat

[VIDEO] PRN Johor : Pas Johor teruskan gerak kerja, tunggu keputusan pusat

JOHOR BAHRU – Persiapan Pas Johor bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor terjejas susulan keputusan Pas Pusat menamatkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mahfodz (tengah) pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas di Pejabat Pas Johor Bandar Baru Uda.

Mahfodz (tengah) pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas di Pejabat Pas Johor Bandar Baru Uda.

Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Mahfodz Mohamed berkata, sebelum ini cadangan kerusi yang bakal ditandingi menerusi kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) negeri telah diputuskan.

Jelas beliau, Pas Johor tidak menolak kemungkinan rundingan kerusi dan calon perlu disusun semula mengikut jajaran politik baharu yang akan ditetapkan oleh Pas Pusat.

“Sebelum ini, Pas Johor sudah membuat persiapan dan gerak kerja jentera juga sudah berjalan.

“Cuma sekarang berlaku perubahan dari segi jajaran politik dan rundingan kerusi akan dibuat semula oleh Pas Pusat dengan parti-parti yang akan bekerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Pas Johor di Ibu Pejabat Pas Bandar Baru Uda, di sini, pada malam Selasa.

Pada Selasa, Pas mengejutkan landskap politik tanah air apabila membuat ketetapan menghentikan serta-merta kerjasama politik dengan rakan sekutunya dalam PN.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ketetapan memutuskan hubungan itu dibuat selepas parti meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik Pas-Bersatu berdasarkan laporan, kajian serta penilaian semasa secara menyeluruh.

Sementara itu, Mahfodz menegaskan Pas tidak akan bertanding secara solo pada PRN Johor, sebaliknya akan membentuk kerjasama baharu menerusi persefahaman pilihan raya (electoral pact) bersama beberapa parti lain.

Katanya, rundingan mengenai jumlah kerusi yang bakal ditandingi Pas Johor masih berjalan di peringkat pusat dan keputusan muktamad dijangka diketahui dalam masa terdekat.

Dalam masa yang sama, beliau memaklumkan hubungan Pas Johor dengan pemimpin dan akar umbi Bersatu di negeri itu kekal baik walaupun kerjasama politik antara kedua-dua parti berakhir.

Mahfodz berkata, kepimpinan Bersatu Johor juga ada menghubunginya berhubung keputusan tersebut.

“Saya sendiri pun sudah menghubungi Datuk Dr Sahruddin Jamal (Pengerusi PN Johor merangkap Ketua Bersatu Johor).

“Saya akur dengan keputusan yang sudah dibuat. Namun, kita teruskan persahabatan,” ujarnya.

Pas kini memegang satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor, iaitu N15 Maharani.

Kerusi tunggal itu dimenangi calon Pas, Abdul Aziz Talib, yang bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac 2022.

Mesti Baca

Scroll to Top