Vivy tinggalkan Ibu Pejabat SPRM tanpa kelibat suami

Vivy tinggalkan Ibu Pejabat SPRM tanpa kelibat suami

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof meninggalkan pekarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini pada jam 4 petang hari ini.

Bagaimanapun, Vivy hanya ditemani peguamnya, Shaarvin Raaj Selva Kumar dan diiringi seorang pegawai SPRM dilihat keluar dari bangunan badan pencegah rasuah itu tanpa kelibat suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar.

Mereka dilihat menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) hitam milik pasangan berkenaan.

Terdahulu, Vivy dan suaminya tiba di Ibu Pejabat SPRM pada jam 2.34 petang.

Ini adalah hari ketiga Vivy dan suaminya hadir ke Ibu Pejabat SPRM sejak Selasa lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Ia adalah susulan siasatan membabitkan pasangan terbabit berhubung laporan kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam FashionValet berjumlah RM43.9 juta.

Vivy dan Fadzaruddin antara sembilan individu yang dirakam percakapan susulan pegawai penyiasat menyerbu empat lokasi termasuk sebuah kementerian, baru-baru ini.

Malah, pegawai penyiasat SPRM menyerbu pejabat FashionValet yang dikaitkan.

Selain FashionValet, turut diserbu secara serentak adalah Kementerian Kewangan (MoF), Khazanah dan PNB.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top