syafil.syazwan@hmetro.com.my
MALAM 1 Ogos lalu menjadi saksi kejayaan luar biasa buat kumpulan rock, Exists yang berjaya menghimpunkan peminat setia mereka menerusi persembahan bertenaga dalam Konsert Exists Memento Mori di Unifi Arena, Bukit Jalil.
Luapan gelombang peminat yang hadir bukan sahaja datang dari serata pelosok tanah air, malah ada yang sanggup terbang dari negara jiran semata-mata mahu menjadi sebahagian daripada sejarah.Seawal petang, persekitaran stadium tertutup itu sudah mula dibanjiri peminat. Rata-rata yang hadir kelihatan bergaya mengikut tema pakaian yang disarankan, sekali gus menaikkan nuansa serta atmosfera ikonik band yang ditubuhkan sejak 1991 ini.
Apa yang menarik perhatian, konsert ini memaparkan gambaran rentas generasi yang cukup indah.
Terbukti, penonton yang hadir terdiri daripada pelbagai lapisan usia, daripada peminat tegar era vokalis pertama, Mamat sehinggalah era Ezad Lazim, serta kelompok peminat setia yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan muzik mereka sehingga ke hari ini.
Suasana Unifi Arena mula ‘panas’ sebaik sahaja tirai persembahan dibuka. Ezad tampil menerusi nyanyian bertenaga menerusi lagu Kerana Percayakan Siti, sebelum meneruskan kehangatan malam dengan trek Mama Tolonglah Percaya.
Sebaik sahaja aksi pembukaan tamat, pentas terus dihangatkan dengan persembahan berselang-seli antara Ezad dan Mamat yang saling berganti menyampaikan lagu-lagu hits masing-masing.
Pemilihan lagu pada malam itu ternyata bijak menyusun emosi penonton.
Barisan senarai lagu popular seperti Alasanmu, Anugerah, Bunga, Dengan Atau Tanpamu, Dirantai Digelangi Rindu, Disendi Dan Nadi, Hani Lempengnya Hangus, dan Hidupan Fantasi disampaikan dengan mantap, membuatkan seisi arena bergema dengan nyanyian bersama.
Antara detik paling mencuri tumpuan apabila kedua-dua vokalis ini membawakan karya ikonik yang sama, namun dalam nuansa berbeza.
Ezad menyampaikan lagu Mengintai Dari Tirai Kamar mengikut versi asalnya, manakala Mamat pula memukau dewan menerusi versi rakaman semula yang cukup popular di Indonesia, Buih Jadi Permaidani.
Kejayaan lagu ini membuktikan betapa pengaruh muzik Exists melangkaui sempadan dan kekal mekar di rantau Nusantara.
Tidak lengkap konsert Exists tanpa seleksi lagu ‘berhantu’ yang mengusik jiwa.
Penonton dibawa beremosi menerusi persembahan lagu Untukmu Ibu, Seperti Dulu, Jesnita, Julia dan Rahsia Pohon Cemara.
Exists turut membuat kejutan dengan membawakan lagu nyanyian semula (cover), Tak Mungkin Berpaling, karya malar segar yang dipopularkan oleh kumpulan Slam.
Lebih menarik, konsert Memento Mori ini turut memberi ruang kepada senarai lagu yang jarang didengar atau jarang dipersembahkan di atas pentas berprestij, memberikan nilai tambah yang amat dihargai oleh peminat tegar mereka.
Di tengah-tengah kehangatan persembahan, Ezad dan Mamat sempat menyapa ribuan peminat yang hadir.
Rasa dihargai dan gembira jelas terpancar pada wajah kedua-dua penyanyi ini apabila melihat sokongan padu yang tidak pernah padam.
Pemandangan belasan ribu penonton bersorak, menari dan bernyanyi bersama dari awal hingga ke penghujung acara memberikan satu bukti jelas bahawa Exists masih mampu berdiri kukuh dan relevan.
Di saat industri muzik tempatan terus dibanjiri bakat baharu, Exists membuktikan bahawa tajamnya taring muzik kualiti 90-an tetap tidak mampu ditandingi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




