mahaizura@mediaprima.com.my
Tidak pernah terlintas di fikiran Lew Yoong Kint bahawa impian untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 menjadi kenyataan apatah lagi melihat pasukan kesayangannya, Sepanyol muncul juara di depan mata.
Namun, itu detik manis dilalui Yoong Kint, 39, apabila berpeluang menyaksikan Sepanyol menewaskan Argentina 1-0 menerusi masa tambahan dalam perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 di MetLife Stadium, New Jersey, Amerika Syarikat (AS) pada 19 Julai lalu.
Detik yang diimpikan sejak kecil itu menjadi kenyataan selepas individu itu diumumkan pemenang hadiah utama kempen ‘Kita Punya Impian, Dari Sorakan Jadi Pemenang!’ anjuran Eco-Shop dengan kerjasama Visa, sekali gus diterbangkan ke AS menerusi pakej tajaan penuh.
Menurut Yoong Kint, minatnya terhadap bola sepak banyak dipengaruhi bapa yang memperkenalkannya kepada pasukan kebangsaan Sepanyol sejak dia masih kecil.
“Melihat Sepanyol menjulang trofi secara langsung dari tempat duduk penonton bukan sesuatu yang pernah saya bayangkan.
“Terima kasih kepada Eco-Shop kerana memberi peluang ini kepada saya dan isteri. Ia pengalaman sekali seumur hidup,” katanya.
Kempen Kita Punya Impian, Dari Sorakan Jadi Pemenang! adalah sebahagian daripada usaha berterusan Eco-Shop menukar pembelian harian pelanggan kepada pengalaman yang lebih bermakna.
Kempen yang berlangsung di 437 cawangan Eco-Shop di seluruh negara itu menarik 177,634 penyertaan sah daripada ahli yang membuat pembelian minimum RM45 dalam satu resit menggunakan kad Visa.
Sebagai pemenang hadiah utama, Yoong Kint menerima pakej bernilai kira-kira RM250,000 yang ditanggung sepenuhnya Eco-Shop merangkumi Pakej Keraian Visa (Visa Hospitality Package) serta tiket penerbangan pergi balik Kuala Lumpur-New York.
Selain hadiah utama, 10 finalis turut membawa pulang pakej barangan eksklusif Piala Dunia FIFA 2026, manakala 100 pemenang hadiah sagu hati menerima baucar tunai Eco-Shop bernilai RM50.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Eco-Shop Malaysia, Jessica Ng berkata, sambutan menggalakkan terhadap kempen itu membuktikan rakyat Malaysia bukan sahaja menghargai ganjaran membeli-belah, malah pengalaman yang mampu mencipta kenangan sepanjang hayat.
“Kami gembira dapat membantu merealisasikan impian seorang daripada pelanggan kami.
“Pengalaman ini membakar semangat kami untuk meneroka pelbagai inisiatif yang memberi lebih nilai dan detik bermakna pada masa akan datang,” katanya.
Menurut Jessica, kempen itu membuktikan pembelian harian yang biasa mampu membuka peluang kepada pelanggan menikmati pengalaman bertaraf dunia yang sebelum ini mungkin hanya menjadi impian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




