PETALING JAYA: Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam dua pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini yang menjadi tanda penolakan pengundi tidak boleh diletakkan di bahu DAP semata-mata, sebaliknya perlu dipikul secara bersama semua parti dalam gabungan itu.
Veteran DAP, Dr. Tan Seng Giaw berkata, setiap parti komponen PH mempunyai tanggungjawab terhadap prestasi gabungan itu dan perlu berganding bahu bagi memulihkan semula keyakinan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Menurut beliau, tumpuan ketika ini seharusnya diberikan kepada usaha untuk berkhidmat kepada rakyat serta memastikan agenda reformasi yang dijanjikan dapat diteruskan.
“Kekalahan PH dan penolakan majoriti rakyat tidak boleh dipersalahkan terhadap DAP semata-mata. Ia adalah tanggungjawab semua parti dalam PH.
“Masih ada masa sebelum PRU16. DAP dan parti-parti dalam PH perlu bersama-sama berkhidmat kepada rakyat dan membuktikan kerajaan mampu memenuhi harapan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Sabtu lalu mengumumkan BN memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya negeri berkenaan.
Keputusan itu juga menyaksikan pentadbiran PH di negeri berkenaan tumbang selepas dua penggal memegang tampuk kepimpinan di Negeri Sembilan.
Susulan daripada itu, Anthony Loke mengumumkan untuk melepaskan jawatan sebagai sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan selepas gagal mempertahankan kerusi DUN Chenah.
Dalam pada itu Seng Giaw berkata, perkara paling utama bagi PH sebelum PRU 16 ialah memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara tanpa mengira kaum dan mengetepikan politik berasaskan identiti.
“Sebagai parti politik dan ahli politik yang mencintai negara ini, kita mesti menjaga masyarakat serta benar-benar mengutamakan kepentingan rakyat daripada semua kaum.
“Kita tidak boleh mengabaikan masyarakat berbilang kaum kerana jika kita melakukan kesilapan, ia akan kekal dalam ingatan rakyat. Sebab itu kita perlu terus bekerja dan menjaga kepentingan masyarakat majmuk untuk jangka panjang,” katanya.
Mengulas kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Seng Giaw berkata, setiap tindakan dan strategi politik perlu sentiasa dinilai serta diperhalusi mengikut keadaan semasa.
“Ada tindakan yang betul dan ada yang tidak. Semua orang, termasuk Anwar, perlu sentiasa mengkaji dan mempertimbangkan setiap keputusan yang dibuat.
“Yang penting, pemimpin mesti menyayangi negara dan mengutamakan kepentingan rakyat. Politik tidak sepatutnya didorong oleh dendam. Paling penting kepimpinan PH tidak boleh lagi bertindak sebagai pembangkang sebaliknya perlu memainkan peranan sebagai pemerintah,” jelasnya. – UTUSAN




