BEKAS pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan meramalkan skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-0 pada aksi final Piala Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini.
Wan Jamak yang juga bekas pemain kebangsaan serta pemain dan jurulatih skuad Johor era 70-an dan 80-an juga meramalkan aksi final kali ini akan selesai dalam tempoh 90 minit.
“Saya buat ramalan ini bukan sebab saya orang Johor dan juga bekas pemain Johor… memang banyak bezanya antara ‘zaman saya’ dengan zaman sekarang ni.
“Sekarang ni, saya lihat terlalu banyak perubahan bagi pasukan Johor atau sekarang JDT sejak TMJ (Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim), ambil alih terutamanya dengan pencapaian-pencapaian yang memberangsangkan.


