saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King berharap dapat melangkah sekurang-kurangnya sehingga ke suku akhir apabila beraksi di Kejohanan Badminton Asia (BAC) dekat Ningbo, China yang bermula esok.
Wan Arif berkata, untuk memenuhi sasaran itu, dia serta Roy King perlu meningkatkan tahap keyakinan mereka dan lebih konsisten apabila beraksi di atas gelanggang.
Gandingan negara itu kandas seawal pusingan pertama Seluruh England bulan lalu yang juga penampilan pertama mereka di kejohanan berprestij itu sebelum giat menjalani latihan untuk persediaan ke Ningbo.
Mereka dilihat cukup serius menghadapi kejohanan itu sehinggakan Wan Arif sendiri tidak pulang menyambut Aidilfitri di kampung demi memberi tumpuan kepada sesi latihan.
“Harap tak ada apa-apa yang berlaku di luar jangkaan sebelum BAC dan saya serta Roy King juga berharap sekurang-kurangnya kami melangkah ke suku akhir serta dapat buat kejutan ke atas pemain pilihan.
“Berdasarkan kepada prestasi di Seluruh England, memang jurulatih ada beritahu tidak berpuas hati dengan prestasi kami yang beraksi dengan tidak begitu meyakinkan.
“Untuk prestasi kami pula, saya rasa kami tak konsisten apabila beraksi banyak kejohanan secara berturut-turut. Harap dengan sesi latihan yang kami jalani sebelum ke BAC, ia dapat meningkatkan tahap konsisten kami,” katanya.
Ditanya pandangannya apabila ketiadaan pasangan utama India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, Wan Arif berkata ia tidak memberi kesan besar.
“Seperti kita tahu, beregu dari Asia juga kuat, jadi kita tidak boleh pandang rendah terhadap sesiapa dan perlu bersedia sepenuhnya,” katanya.
Wan Arif-Roy King akan membuka tirai kempen BAC menentang pasangan Singapura, Wesley Koh-Junsuke Kubo di pusingan pertama.
Sekiranya berjaya melangkah ke pusingan kedua, mereka dijangka bertemu pasangan pilihan kedua kejohanan, Liang Wei Keng-Wang Chang dari China.
Jika berjaya melepasi halangan Tembok Besar China itu, mereka dijangka menghadapi cabaran getir di suku akhir menentang sama ada gandingan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae atau beregu Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin.
© New Straits Times Press (M) Bhd
