Wan Zulkiflee dilantik Pengerusi Nestlé Malaysia

Wan Zulkiflee dilantik Pengerusi Nestlé Malaysia

PETALING JAYA: Nestlé (Malaysia) Berhad mengumumkan pelantikan Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin sebagai Pengerusi baharu berkuat kuasa 1 Mei 2024.

Beliau akan menggantikan Tan Sri Syed Anwar Jamalullail, yang akan meletakkan jawatan selepas Mesyuarat Agung Tahunan akan datang syarikat itu selepas 15 tahun di dalam Lembaga Pengarah.

Menurut Nestle, Wan Zulkiflee yang kini Ahlia Lembaga Pengarah, mempunyai pengalaman lebih 40 tahun di pelbagai organisasi terkemuka antaranya Petronas, Malaysia Airlines Berhad dan Malaysia Aviation Group Berhad.

Katanya, dengan kepakaran menyeluruh dalam bidang pengurusan, pembangunan kepimpinan, kewangan, hal-ehwal kawal selia dan ekonomi, beliau juga berkhidmat sebagai ahli Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara, Majlis Petroleum ASEAN, dan Lembaga Pengawasan Inisiatif Sistem bagi Membentuk Masa Depan Tenaga di bawah Forum Ekonomi Dunia (WEF), Forum Gabenor Minyak dan Gas WEF dan Kumpulan Bertindak Minyak dan Gas WEF.

“Buat masa ini, beliau mempengerusikan Lembaga DRB-HICOM Berhad dan Gas Malaysia Berhad,” katanya dalam kenyataan.

Nestle berkata, Wan Zulkiflee juga telah memberikan sumbangan besar kepada dunia akademik dan kini berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Razak School of Government dan Profesor Adjung di Kuliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan di Universiti Islam Antarabangsa.

“Beliau juga sebelum ini memegang jawatan sebagai Pro-Canselor Universiti Teknologi Petronas, Ahli Majlis Penasihat Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Penasihat Industri Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM),” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top