am@hmetro.com.my
Kuala Nerus: Peniaga nasi Arab warga Yaman kerugian lebih RM150,000 apabila rumah kedai yang disewanya di Kampung Tok Jiring, di sini, hangus dalam kebakaran, 10 malam tadi.
Antara yang musnah adalah wang simpanan miliknya yang dianggarkan lebih RM100,000 dan barangan kemas milik isteri serta pelbagai dokumen penting yang disimpan di dalam almari di tingkat atas rumah itu.
Barangan dan peralatan restoran pula dapat diselamatkan pekerja yang menyedari kebakaran yang membabitkan empat rumah kedai sederet itu.
Mangsa, Muhammad Abdulatef, 26, berkata, wang tunai berkenaan adalah hasil titik peluhnya yang disimpan sejak memasuki negara ini ketika berusia 18 tahun.
“Itu adalah hasil titik peluh saya bekerja dan menjalankan perniagaan di sekitar bandar raya ini sejak tiba di Malaysia sebelum membuka kedai nasi Arab di sini (Kampung Tok Jiring) kira-kira dua tahun lalu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Katanya, kebakaran itu juga menyebabkan dia terpaksa membatalkan hasrat balik ke Yaman hujung bulan ini, walaupun semua persiapan sudah dibuat termasuk sudah menukar duit mata wang dolar Amerika Syarikat dan Riyal Arab Saudi dan menempah tiket penerbangan.
“Dengan duit simpanan itu juga, saya merancang membina rumah baharu untuk isteri sebaik pulang dari Yaman, tetapi semua impian itu musnah,” katanya.
Menurut Muhammad, ketika kejadian, dia dan isteri, Nur Syakirah Zainal Abidin, 21, serta anak berusia dua tahun keluar makan jam 9 malam sebelum dihubungi sepupunya yang memberitahu bangunan rumah kedai dua tingkat itu terbakar.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Azmi Omar, berkata, pihaknya mengambil masa 35 minit untuk mengawal kebakaran dan api dapat dipadam sepenuhnya sebelum operasi selesai 12 tengah malam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




