Wanita ditemukan rentung, polis sah ada unsur khianat

Wanita ditemukan rentung, polis sah ada unsur khianat

am@hmetro.com.my

Segamat: Wanita yang ditemukan rentung dalam kebakaran lima rumah di Jalan Francis School, Bukit Siput, di sini awal pagi Jumaat lalu didapati mengandungi unsur khianat.

Difahamkan, rumah didiami warga emas berusia 73 tahun bersama beberapa ahli keluarga terbakar sebelum api merebak keseluruhan dan menyambar empat lagi rumah yang berdekatan.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, berkata kejadian dipercayai berlaku jam 4.15 pagi apabila menantu lelaki mangsa menyedari garaj rumah ibu mentuanya terbakar.

Beliau berkata, lelaki kemudian bergegas mengejutkan semua ahli keluarga lain supaya keluar rumah menyelamatkan diri.

“Bagaimanapun, ibu mentua lelaki itu masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil barang namun tidak keluar selepas itu.

“Wanita itu dipercayai terperangkap dengan mayatnya ditemui rentung di ruang dapur.

“Selain itu, dua kereta dan dua motosikal turut terbakar dengan api berjaya dikawal sepenuhnya jam 8 pagi.

“Siasatan polis mendapati terdapat unsur khianat dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi.

Ahmad Zamry berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian itu.

Berikutan itu, polis membuka siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat dan Seksyen 436 kanun sama, khianat dengan api.

“Orang ramai mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-9324222,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top