Wanita hamil dibunuh, dibakar: Punca kematian akibat tikaman

Wanita hamil dibunuh, dibakar: Punca kematian akibat tikaman

am@hmetro.com.my

Sungai Besar: Punca kematian wanita hamil yang mayatnya ditemui terbakar di kawasan belukar kebun kelapa sawit di Jalan Sungai Limau di sini, Isnin lalu disahkan akibat luka tikaman di dada.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, keputusan itu diperoleh selepas bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sungai Buloh hari ini.

“Sebab kematian mangsa adalah kerana luka tikaman di dada selain badan yang melecur,” katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Agus Salim berkata, mayat wanita berusia 21 tahun itu sudah dituntut keluarga dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nelayan malam ini.

Menurutnya, reman terhadap suspek lelaki berusia 20 tahun pula akan berakhir 29 Mei ini, untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, media melaporkan motif pembunuhan wanita malang itu dipercayai kerana mahu merahsiakan kehamilan empat bulan akibat terlanjur. Pasangan itu dipercayai menjalin hubungan selama setahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd