Wanita hilang 3 hari ditemukan 5 km dari rumah

Wanita hilang 3 hari ditemukan 5 km dari rumah

rnoraina@hmetro.com.my

Sungai Buloh: Wanita berusia 29 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar rumah di Subang U5 di sini, pada Selasa lalu, ditemukan selamat malam tadi.

Nurul Syahira Anuar ditemukan di bawah jejantas berhampiran pusat beli-belah yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumahnya, kira-kira 7 malam.

Khabar gembira itu dikongsi suaminya, Mohamed Amin Mohamed Ali, 45, yang melahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada orang ramai yang membantu menghebahkan kehilangan wanita terbabit.

“Alhamdulillah, isteri sudah dijumpai selamat. Ketika ditemui isteri seperti hilang arah dan tidak tahu nak ke mana walaupun lokasi dia berada terletak tidak jauh dari rumah.

“Isteri beritahu dia hanya menaiki kenderaan e-hailing dan berhenti di lokasi berkenaan. Namun dia tidak ingat apa yang berlaku sepanjang tiga hari di situ,” katanya kepada Harian Metro.

Susulan penemuan itu, Mohamed Amin berkata, polis sudah merakam keterangan isterinya sebelum membawanya pulang ke rumah.

“Sampai di rumah, isteri kelaparan kerana dia tidak makan sepanjang kehilangannya itu. Sekarang keadaan isteri semakin baik namun saya bercadang untuk membawanya mendapatkan rawatan alternatif,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, suami buntu selepas usaha mencari isterinya yang hilang sejak Selasa lalu, gagal.

Mohamed Amin dilaporkan berkata, Nurul Syahira dikatakan keluar dari rumah kira-kira jam 10 malam dengan menaiki kereta Perodua Kelisa.

Dia kemudian menemui kereta isteri yang rosak ditinggalkan di kawasan Plaza Tol Bukit Jelutong, Shah Alam, namun wanita itu dikatakan sudah pergi dengan menaiki kenderaan e-hailing.

Berikutan itu, Mohamed Amin tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Baru Subang mengenai kehilangan isterinya itu.

#kw isteri, nurul syahira, hilang, ditemui, selamat, sungai buloh

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top