am@hmetro.com.my
Port Klang: Dua wanita warga Indonesia mendakwa membayar antara RM200 hingga RM250 untuk mendapatkan salinan MyKad palsu bagi memudahkan mereka memperoleh pekerjaan selepas memasuki negara ini secara haram.
Kedua-dua wanita berusia 37 tahun itu adalah antara tiga warga Indonesia yang ditahan kerana disyaki menggunakan salinan kad pengenalan palsu atau dokumen milik individu lain dalam ‘Ops Layar’ di sebuah kilang percetakan di Bandar Sultan Suleiman di sini, hari ini.
Seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Lifa dari Sulawesi, mendakwa membayar RM200 bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri berkenaan selepas memasuki Malaysia menerusi laluan tidak sah pada Jun lalu.
“Saya datang ke sini hanya untuk mencari rezeki. Saya tidak tahu perbuatan ini adalah satu kesalahan,” katanya.
Lifa yang menerima upah secara tunai berkata, beliau menyerahkan gambarnya kepada individu yang menyediakan dokumen terbabit.
“Saya serahkan gambar saya kepada individu yang membuat dokumen itu, lalu mereka menggantikan gambar pada kad pengenalan berkenaan dengan gambar saya.
“Saya hanya dapatkan salinan kad pengenalan ini untuk mencari kerja. Saya cuma mahu cari wang dan tidak tahu apa yang saya buat ini melanggar undang-undang,” katanya selepas operasi berkenaan.
Seorang lagi wanita yang dikenali sebagai Rini dari Jawa Barat, mendakwa membayar kira-kira RM250 kepada kenalan yang diperkenalkan oleh rakan Indonesia untuk mendapatkan salinan kad pengenalan palsu.
Rini berkata, beliau menetap di Malaysia sejak 2022 selepas memasuki negara ini secara haram.
Beliau sebelum ini bekerja di sebuah kedai runcit sebelum bertukar kerja ke kilang percetakan terbabit dengan dibayar upah kira-kira RM95 sehari.
“Saya pernah diusir dari Malaysia sebelum ini dan pasport saya disenaraihitamkan, tetapi saya masuk semula menerusi laluan haram selepas membayar kira-kira enam juta rupiah,” katanya.
Beliau memberitahu pegawai bertugas bahawa salinan kad pengenalan palsu itu digunakan bagi memudahkan urusan mendapatkan pekerjaan.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya, Mazhad Abdul Aziz, berkata Ops Layar dijalankan susulan risikan selama sebulan bagi mengesan individu yang disyaki menyalahgunakan dokumen pengenalan diri.
Beliau berkata, seramai 67 anggota penguat kuasa terbabit dalam operasi itu, merangkumi 52 pegawai JPN dari Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur, 10 pegawai Jabatan Imigresen Putrajaya serta lima pegawai Jabatan Tenaga Kerja Selangor.
“Seramai 195 individu diperiksa, termasuk 63 warga tempatan yang mempunyai kad pengenalan sah.
“Tiga wanita berusia antara 21 hingga 37 tahun yang dipercayai warga Indonesia ditahan kerana disyaki menggunakan salinan kad pengenalan palsu atau milik orang lain untuk bekerja,” katanya.
Mazhad berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Mazhad berkata, JPN menjalankan 738 operasi penguatkuasaan antara Januari hingga 31 Ogos lalu, yang membawa kepada 365 kes tangkapan dan pendakwaan.
Daripada jumlah itu, 286 kes membabitkan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 berkaitan penggunaan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain.
Sebanyak 79 kes lagi membabitkan sijil kelahiran palsu di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).
Dalam operasi sama, Jabatan Imigresen turut memeriksa 129 individu dan menahan enam daripadanya kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen.
“Operasi hari ini menunjukkan keberkesanan tindakan kita. Kami agak lega apabila mendapati kadar kesalahan yang dikesan hari ini adalah rendah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
