nurul_husna@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim tidak pernah memilih untuk hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini, dengan memakai baju lokap polis berwarna ungu dan bergari.
Peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad, dalam kenyataan berkata, bekas Ahli Parlimen Baling berusia 60 tahun itu tidak diberi peluang menukar pakaian sebelum dibawa menghadapi pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
“Pihak kami terkejut dengan kenyataan yang dikaitkan dengan SPRM bahawa anak guam kami memilih dan berkeras memakai baju lokap dan bergari.
“Oleh itu, kehadiran anak guam kami dalam pakaian lokap ungu dan bergari semasa prosiding pertuduhan SPRM adalah mengikut keadaan dan pakaian yang sama sewaktu beliau dihadapkan untuk prosiding reman polis terdahulu,” jelasnya.
Kata Amer, sebarang kenyataan bahawa Abdul Azeez memilih dalam keadaan sedemikian adalah tidak tepat dan memberi gambaran mengelirukan.
“Kami berharap perkara di atas dapat menjelaskan keadaan anak guam kami di mahkamah hari ini, dan membetulkan sebarang salah faham yang timbul daripada laporan terbabit.
“Anak guam kami berhak mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana orang yang mencipta, menerbitkan, menyebarkan atau mengekalkan sebarang naratif palsu atau mengelirukan mengenai keadaan kejadian ini,” katanya.
Terdahulu, SPRM dalam kenyataan yang turut dikeluarkan hari ini memaklumkan, Abdul Azeez memilih dan berkeras untuk memakai baju lokap PDRM sewaktu hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
SPRM berkata, pegawainya dan pegawai polis yang mengiringi Abdul Azeez sudah menasihati beliau untuk menukar pakaian biasa ketika menghadiri mahkamah.
Bagaimanapun, ahli politik berkenaan berkeras untuk kekal memakai pakaian lokap selain gari.
© New Straits Times Press (M) Bhd
