am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: UMNO dinasihati supaya lebih berhati-hati dengan sikap pengundi yang disifatkan berani mendedahkan setiap perkara yang tidak menguntungkan mereka.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan, turut menyifatkan pengundi sebagai ‘wartawan’ dan ‘brutal’, selain sentiasa bersedia merakam, komen dan menularkan setiap isu dengan keadaan itu adalah realiti berpolitik ‘generasi asli digital’.
Justeru, kata beliau, UMNO tidak boleh terlalu yakin, kononnya memiliki formula kemenangan tuntas, hanya kerana beberapa parti politik teras Melayu bekerjasama dan saling menyokong.
“Apatah lagi bersikap sombong dan mendabik dada, bahawa kita akan menguasai itu dan ini dalam sedikit masa lagi. Orang Melayu sangat tidak gemar dengan keangkuhan.
“Prestasi kita akan terus diuji, selain menjadi sasaran kritikan dan bersedialah atas segala cemuhan serta teguran, kerana wild card electorate itu adalah mereka yang sangat kritikal.
“Bangsa kita tidak suka mereka yang keterlaluan dan bermegah-megah. Bagi mereka kemenangan yang mereka berikan ada maharnya.
“Jika kita gagal dalam amanah diberikan, mereka tidak akan bertangguh dalam talak ke atas kita,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, malam ini.
Sementara itu, Mohamad mengakui, sikap pengundi sangat tidak menentu dan sukar diramal, selain mengutamakan kepentingan berbanding kesetiaan dengan dapatan itu berpandukan trend pengundian, sejak 2018.
Justeru, katanya, jangan sesekali mudah terpedaya dengan indikasi sokongan Melayu sudah kembali kerana semuanya bersifat sementara.
“Mereka akan meninggalkan kita, jika rasa kepentingan tergugat. Begitu juga sebaliknya.
“UMNO sudah mengalami penolakan besar-besaran bangsa Melayu terhadapnya sebelum ini,” katanya.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, pengundi turut menganggap kerjasama politik dengan pelbagai jenama baharu sebagai bahan untuk mereka bereksperimen.
Sehubungan itu, beliau meminta supaya UMNO menghentikan kecenderungan membaca kejayaan daripada perspektif sempit dan terkepung.
“Dahulu mereka teruja dengan Pakatan Rakyat, maka berduyun-duyun mula menyokong. Kemudian mereka menghumban kita ke dalam gaung untuk mengundi PN (Perikatan Nasional) dan PH (Pakatan Harapan).
“Jadi kita ini akan terus menjadi ‘subjek’ dan objek yang akan mereka gunakan untuk bereksperimentasi.
“Tanam dalam pemikiran, kedinamikan politik menuntut kita terus inovatif dan meneroka pelbagai strategi lautan biru. Jangan sesekali terperuk dengan strategi lautan merah dan bersaing dalam lanskap yang padat dengan pesaing,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad turut menyifatkan, sikap pengundi muda sebagai wild card electorate, selain keutamaan mereka ialah kos kehidupan, inflasi, pekerjaan dengan pendapatan munasabah, kemampuan untuk melancong dan pemilikan perumahan.
“Sikap mereka ialah mahu kita menunjukkan di mana mereka akan beroleh manfaat dan laba material. Mereka juga mahu peruntukan lebih besar untuk pendidikan rentas peringkat, pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan institusi keluarga.
“Elemen ideologi adalah ‘secondary’ (sekunder) walaupun identiti penting untuk mereka, selain kebanyakannya menilai dasar, berdasarkan manfaat material akan diraih.
“Identiti dan kepentingan material adalah seiringan pada mereka. Sesungguhnya inilah cabaran yang akan terus kita hadapi, pilihan raya demi pilihan raya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
