am@hmetro.com.my
Georgetown: Wanita warga Belgium mendakwa dirinya cedera disyaki terkena peluru sesat ketika berada di rumahnya di sebuah kondominium di Batu Feringgi, di sini.
Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 67 tahun mendakwa terdengar bunyi letupan sebelum mengalami kecederaan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, mangsa membuat laporan polis pada jam 11.39 pagi semalam dan siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada jam 5.35 pagi, Selasa lalu.
Katanya, selepas kejadian itu, mangsa mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta pada hari yang sama dan ditempatkan di wad selama sehari.
“Siasatan di tempat kejadian oleh pasukan siasatan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang menemukan titisan darah dipercayai milik mangsa di sebuah bilik dalam rumah itu.
“Bagaimanapun, polis tidak menemukan sebarang anak peluru atau kesan tembakan pada rumah berkenaan.
“Mangsa adalah pemegang visa Malaysia My Second Home (MM2H),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut Azizee berkata, doktor yang merawat mangsa memberitahu bahawa bahagian atas kening wanita itu mengalami luka koyakan (laceration wound) dipercayai akibat daripada objek tumpul.
“Tiada sebarang luka akibat tembakan dikesan di mana-mana bahagian tubuh mangsa.
“Siasatan awal polis mendapati aspek keterangan yang diberi mangsa adalah tidak konsisten.
“Siasatan lanjut mengenai kejadian itu masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar yang menyebabkan kecederaan pada mangsa,” katanya.
Menurut Azizee, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 berikutan menyebabkan kecederaan dengan senjata api tanpa alasan yang sah.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini sehingga mendatangkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




