hafidzul@hmetro.com.my
Pelabuhan Klang: Beri alasan mahu menghadiri kenduri perkahwinan saudara di Perak hingga sanggup ‘bersesak’ bersama 80 pendatang asing tanpa izin (Pati) lain dalam bot untuk ke negara ini.
Wanita berusia 52 tahun yang berasal dari Medan itu turut mendakwa membayar 5 juta rupiah (kira-kira RM1,173) kepada tekong bot berkenaan untuk masuk ke negara ini dari Medan ke Sungai Besar.
Bagaimanapun, tindakannya itu mengundang padah apabila bot pom-pom yang dinaiki berjaya dipintas pasukan rondaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor di perairan Bagan Nahkoda Omar, Sabak Bernam, kira-kira 3 pagi hari ini.
Wanita yang enggan dikenali itu berkata, dia masuk ke negara ini menggunakan laluan haram kerana sudah disenarai hitam pihak berkuasa.
“Saya bayar 5 juta rupiah (RM1,173) kepada tekong untuk di bawa ke sini (Malaysia).
“Kami sepatutnya mendarat di Sungai Besar sebelum tiba di rumah transit dan akan dibawa ke destinasi masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas ditahan APMM, hari ini.
Wartawan bersama jurugambar yang turut mengikuti operasi tangkapan mendapati keadaan bot sesak dengan Pati, manakala dua kru dan seorang tekong yang mengendali bot dipercayai sudah terjun ke laut.
Difahamkan, mereka mula bergerak masuk ke negara ini pada 9 malam waktu tempatan.
Sementara itu, Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pihaknya menahan 80 warga asing yang masuk ke negara ini melalui laluan tikus.
“Daripada jumlah itu, seramai 29 wanita warga Indonesia dan 50 lelaki serta seorang warga Bangladesh berusia 18 hingga 54 tahun ditahan.
“Semua individu bersama bot yang ditahan diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM), Pulau Indah untuk tindakan lanjut,” katanya.
Abdul Muhaimin berkata, siasatan awal mendapati semua Pati yang ditahan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1953/63 kerana masuk dan keluar negara melalui jalan yang tidak diwartakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




