West Ham ajar United

West Ham ajar United

Manchester: Ruben Amorim menyuarakan kebimbangan bahawa pasukan Manchester United pimpinannya seolah-olah lupa akan tanggungjawab mereka sebagai pemain di salah sebuah kelab gergasi dunia, sambil meragui masa depannya sendiri selepas kekalahan 0-2 di tempat sendiri kepada West Ham awal pagi tadi.

Hanya tiga hari selepas United mara ke perlawanan akhir Liga Europa, mereka dikejutkan kembali dengan kekalahan kepada sebuah pasukan bawahan, apabila kelab dari London itu meraih kemenangan liga utama pertama mereka di Old Trafford sejak tahun 2007.

Tomas Soucek dan Jarrod Bowen menjaringkan gol untuk pelawat, manakala United yang dahulunya dianggap sebagai raja bola sepak England mengalami kekalahan ke-17 dalam 36 perlawanan liga musim ini, dengan sembilan daripadanya berlaku di laman sendiri.

Persembahan hambar terbaru ini menimbulkan kemarahan Amorim, yang sebelum ini sudah beberapa kali secara terbuka mengkritik pasukannya sejak mengambil alih jawatan pengurus daripada Erik ten Hag yang dipecat pada bulan November.

“Bagi saya, kebimbangan paling besar ialah wujudnya perasaan bahawa ‘tidak mengapa’ dan ‘kita tidak boleh ubah kedudukan sangat pun, jadi tidak mengapa’,” kata Amorim selepas kekalahan tersebut.

“Itulah masalah terbesar di kelab kami ketika ini kerana kami sedang kehilangan rasa bahawa kami adalah sebuah kelab besar, dan sepatutnya kekalahan di laman sendiri adalah sesuatu yang sangat memalukan. Saya fikir itu adalah kebimbangan paling besar di kelab ini.”

Jurulatih berusia 40 tahun dari Portugal, yang sebelum ini membimbing Sporting Lisbon, menambah bahawa ini adalah “perasaan paling berbahaya yang boleh wujud dalam sebuah kelab besar,” memandangkan United belum lagi memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak pengurus lagenda, Alex Ferguson, bersara pada tahun 2013.

Apabila ditanya tentang perasaannya melihat United berada di tangga ke-16 dalam carta liga dengan hanya dua perlawanan berbaki, Amorim menjawab: “Bagaimana perasaan seorang pengurus Manchester United sepatutnya dalam kedudukan itu – malu dan sukar untuk diterima.”

Beliau juga menegaskan bahawa perlawanan akhir Liga Europa menentang Tottenham di Bilbao pada 31 Mei nanti tidak boleh dijadikan alasan untuk mengalihkan perhatian daripada masalah besar di saingan domestik.

“Semua orang sedang memikirkan tentang perlawanan akhir.

“Perlawanan akhir bukanlah isu utama di kelab kita ketika ini. Kita ada perkara yang jauh lebih besar untuk difikirkan dan kita perlu ubah banyak perkara pada penghujung musim ini,” kata Amorim.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top