West Ham buat Magpies terkedu

West Ham buat Magpies terkedu

Newcastle, United Kingdom: West Ham menewaskan Newcastle United 2-0 di tempat lawan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi sekali gus meredakan tekanan ke atas bahu pengurus Julen Lopetegui.

Tomas Soucek menanduk masuk gol pertama pelawat di St James Park dan Aaron Wan-Bissaka menggandakan kelebihan Hammers menerusi gol kedua selepas rehat.

Newcastle terlepas banyak peluang dicipta dan gagal meneruskan momentum kemenangan ke atas Arsenal dan Nottingham Forest.

Keputusan itu yang juga hanya kemenangan kedua West Ham di tempat lawan musim ini membolehkan mereka meraih 15 mata, hanya tiga mata di belakang pasukan di tangga ke-10 Newcastle yang terlepas peluang untuk menduduki enam teratas.

Ia juga melegakan Lopetegui yang masa depannya terjejas hanya beberapa bulan menggantikan David Moyes.

“Kami gembira dapat tiga mata sangat penting. Tahniah kepada semua pemain yang beraksi sangat baik,” katanya kepada Sky Sports.

“Tetapi esok kami akan bekerja keras bagi hadapi cabaran seterusnya (menentang Arsenal). Memikirkan masa depan jangka panjang sama sekali tidak membantu.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top