Wira Merah banggakan negara

Wira Merah banggakan negara

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Wira Merah negara merangkul gelaran johan dan naib johan dalam dua acara berbeza pada Cabaran Bomba dan Paramedik 2023 di Changi, Singapura yang berakhir, hari ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya menyertai dua acara iaitu Braveheart (individu) dan Rip It Off (berpasukan).

“JBPM dinobatkan sebagai johan dalam acara Rip It Off dengan menewaskan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Bomba dan Penyelamat Australia, Bomba dan Penyelamat Macau serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam perlawanan akhir.

“Bagi acara Braveheart, JBPM berjaya meraih naib johan selepas ditewaskan oleh SCDF, manakala kedudukan ketiga diraih Bomba dan Penyelamat Myanmar dan Australia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, acara bertaraf antarabangsa itu mengumpulkan 14 pasukan penyelamat dan paramedik dari 12 negara bagi menguji kemampuan serta kebolehan mereka dalam pertandingan selama seminggu bermula 19 November.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top