Wisma Putra adakan rundingan dengan kerajaan junta Myanmar hantar 5,000 pelarian

Wisma Putra adakan rundingan dengan kerajaan junta Myanmar hantar 5,000 pelarian

PUTRAJAYA: Kerajaan menerusi Wisma Putra akan mengadakan perbincangan bersama kerajaan junta Myanmar berhubung cadangan penghantaran pulang 5,000 pelarian etnik Rohingya ke negara itu.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti terlebih dahulu, khususnya bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelarian terbabit tidak terancam sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Perkara ini sedang diteliti oleh Wisma Putra dan juga Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mana 5,000 orang pelarian Myanmar ini akan dikenal pasti. Tapi semestinya Malaysia sebagai sebuah negara yang juga bertanggungjawab tidak akan menghantar pulang sekiranya 5,000 orang pelarian Myanmar ini akan sama ada dizalimi ataupun nyawa mereka akan terancam.

“Jadi ada beberapa perkara yang kita akan teliti dahulu dalam perbincangan dengan kerajaan junta di Myanmar sebelum kita laksanakan,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan pasca Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Pada 29 Julai lalu, media melaporkan Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian Rohingya yang berada di Malaysia, hasil rundingan diplomatik dan hubungan yang baik antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan itu adalah satu langkah awal dalam menangani isu berkenaan, di samping bagi memastikan isu ketenteraman awam di Malaysia terus dapat dipelihara.

Menurutnya, persetujuan itu dicapai menerusi hubungan baik Malaysia dengan Myanmar, sekali gus membuktikan isu pelarian tidak boleh diselesaikan hanya dengan gesaan supaya mereka dihantar pulang.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kerajaan junta Myanmar sebelum ini menyatakan kesediaan untuk menerima 5,000 pelarian terbabit, namun kerajaan Malaysia perlu meneliti kriteria ditetapkan bagi memastikan penghantaran pulang itu bersesuaian.

“Apa yang telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri, 5,000 orang pelarian Myanmar ini yang pihak kerajaan junta di Myanmar sedia untuk menerima, tapi kita akan teliti apakah kriteria dan sekiranya sesuai, kita akan laksanakan.

“Tetapi Perdana Menteri mengambil maklum bahawa kita tidak boleh menghantar sekiranya nyawa mereka terancam. Jadi ada beberapa perkara yang sedang diteliti oleh pihak Wisma Putra terutamanya,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top