asyikin.mat@hmetro.com.my
Sudah menjadi trend ramai pemilik menjual rumah di bawah harga pasaran iaitu di bawah julat harga pasaran mengikut lokasi.
Perkara sebegini berlaku kerana terdapat lambakan rumah untuk dijual dalam pasaran, sama ada unit rumah baru siap dibina pemaju atau jualan sekunder (‘sub sale’).
Pensyarah Fakulti Perniagaan, Universiti Malaya-Wales Kuala Lumpur, Profesor Sr Dr Noor Rosly Hanif berkata, ia meliputi pasaran rumah mampu milik berharga RM500,000 ke bawah.
Menurutnya, berlaku kejatuhan harga rumah drastik di antara harga dijual semasa pemaju dengan harga jualan semula unit di projek pemaju secara serentak di beberapa negeri.
“Terdapat beberapa projek perumahan di Selangor yang harga jualan pemaju semasa di antara RM480,000 hingga RM550,000 seunit.
“Tetapi harga jualan semula atau lelongan hanya di antara RM280,000 hingga RM320,000 seunit.
“Tindakan menjual rumah di bawah harga pasaran kerana mahu mendapat pembeli dengan segera, melepaskan bebanan pinjaman bank dan terjerat kerugian akibat kejatuhan harga rumah semasa,” katanya.
Namun, katanya, ramai berpendapat keadaan yang berlaku sekarang ini adalah kesan sementara pemulihan semula pasaran hartanah terutamanya kediaman.
“Sebelum ini didapati pemaju menaikkan harga jualan rumah tanpa mengambil kira kemampuan membeli purata rakyat Malaysia.
“Mereka membina banyak rumah dengan harga melebihi RM300,000 seunit dan menjadikan kenaikan harga bahan binaan dan senario pasaran dunia semasa sebagai alasan.
“Apabila mendapati banyak unit yang siap dibina tidak terjual dan unit yang sudah terjual, ia dijual semula oleh pembeli dengan harga lebih rendah, menyebabkan pasaran hartanah menjadi kaku,” katanya.
Jelasnya, ini menyebabkan lebih ramai pemilik rumah bertindak menjualkan rumah untuk mendapatkan kecairan tunai segera.
“Untuk menarik pembeli segera, pemilik rumah tiada pilihan melainkan menjualkannya dengan harga yang lebih rendah daripada harga pasaran.
“Mengenai kadar peratusan pengurangan harga rumah yang dibolehkan untuk dijual di bawah harga sebenar adalah bergantung kepada lokasi dan kedudukan kediaman berkenaan.
“Bagi kawasan perumahan sudah matang yang lengkap dengan kemudahan infrastruktur seperti sekolah, pasar raya dan pengangkutan awam iaitu stesen transit aliran massa (MRT), transit aliran ringan (LRT) serta komuter, pengurangannya boleh sehingga 15 peratus,” katanya.
Beliau berkata, tetapi bagi kawasan lain serta baru dibuka, pengurangan harga boleh mencapai sehingga 40 peratus. Terutama rumah dibeli daripada pemaju yang sebelum ini menawarkan rebat harga sehingga 30 peratus daripada harga jualan, perabot lengkap, percuma dua lot parkir dan sebagainya.
“Semua jenis rumah sesuai dijual di bawah harga pasaran, kecuali rumah kos rendah.
“Ini kerana berlaku lambakan unit rumah dalam pasaran disebabkan tiada kawalan tegas daripada pihak penguasa untuk menentukan harga jualan maksimum bagi setiap jenis rumah yang ada dalam pasaran.
“Segalanya dibiarkan kepada pemaju untuk menentukan dan manipulasi pasaran perumahan,” katanya.
Noor Rosly berkata, kejatuhan harga rumah bukan sahaja dilihat banyak berlaku bagi rumah yang boleh dibeli golongan pertengahan berharga di antara RM250,000 hingga RM500,000, tetapi juga rumah kos tinggi berharga melebihi RM800,000 ke atas.
“Pasaran rumah seunit di beberapa kawasan mewah turut mencatatkan kejatuhan harga.
“Oleh itu, sebelum menjual rumah, hendaklah mendapatkan nasihat pakar daripada penilai berdaftar untuk menentukan harga pasaran unit yang hendak dijual.
“Alternatif seterusnya ialah melihat kepada pasaran sekunder di kawasan kediaman, adakah terdapat unit rumah lain yang hendak dilepaskan untuk dijual dan berapakah harga ditawarkan,” katanya.
Beliau berkata, maklumat ini boleh diperoleh di Internet dan membaca di laman web hartanah. Selain itu, mendapatkan maklumat daripada pasaran lelongan untuk mengetahui harga bidaan terkini di kawasan perumahan anda.
“Selepas mendapat semua maklumat ini, anda mempunyai pengetahuan asas mengenai purata harga pasaran unit dan seterusnya melantik ejen hartanah untuk menjualkan rumah.
“Dapatkan pandangan daripada pakar hartanah dan lantik mereka yang boleh memberikan nasihat terbaik sebelum menjual rumah di bawah harga jualan semasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
