Kuala Lumpur: Peminat komposer dan penyanyi terkenal, Malique Ibrahim tidak sabar menantikan kolaborasi terbaharunya bersama Yasin Sulaiman dan Zizi Kirana.
Menerusi hantaran terbaharu dimuat naik di media sosial, bintang hip hop itu seolah-olah memberi bayangan mengenai lagu baharu apabila menulis perkataan Yang Tinggal pada helaian sebuah buku nota, yang dipercayai judul karya terbaharu mereka.
Pada helaian sama, Malique turut menulis namanya bersama kedua-dua penyanyi berkenaan, selain mencatatkan tarikh Februari 2026, yang dipercayai sebagai sasaran pelancaran lagu itu.
Perkongsian ringkas tanpa sebarang keterangan itu pantas mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat, memandangkan Malique tidak menulis sebarang kapsyen pada foto berkenaan.
Selain teruja menantikan buah tangan terbaharu, cara pengumuman lagu yang hanya menggunakan tulisan tangan turut mencuri perhatian peminat, yang menyifatkannya sebagai unik dan sinonim dengan gaya tersendiri Malique.
“Macam itu saja Mr General umum lagu baharu,” komen seorang peminat.
“Ambil gambar dan muat naik. Tak ada kapsyen pun,” tulis seorang warga maya lain.
Rata-rata peminat yang menggelarkan Malique sebagai Mr General meluahkan keterujaan mereka dan menyifatkan kolaborasi bersama Yasin dan Zizi sebagai gabungan yang cukup kuat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




