Yayasan Kemanusiaan Malaysia berhasrat cipta impak dalam landskap pendidikan Malaysia menerusi SuperCamp

Yayasan Kemanusiaan Malaysia berhasrat cipta impak dalam landskap pendidikan Malaysia menerusi SuperCamp

SEMENYIH – Yayasan Kemanusiaan Malaysia (Malaysian Humanitarian Foundation – MHF) berhasrat untuk mencipta impak dalam landskap pendidikan Malaysia menerusi penganjuran SuperCamp Malaysia yang memperkenalkan program pendidikan terbaik di luar bilik darjah.

SuperCamp merupakan jenama pendidikan global yang ditubuhkan pada tahun 1982 oleh seorang professional hartanah, Bobbi DePorter di San Francisco, Amerika Syarikat.

Beliau percaya kanak-kanak yang diperkasakan dengan asas ‘8 Kunci Kecemerlangan’ (8 Keys of Excellence) yang diilhamkan di Sekolah Perniagaan Burklyn boleh mengukuhkan motivasi dalam diri untuk terus belajar.

Lapan kunci kecemerlangan tersebut adalah integriti, komitmen, kegagalan membawa kepada kejayaan, tanggungjawab, bercakap dengan tujuan yang baik, fleksibiliti, inilah masanya dan keseimbangan.

Pemerkasaan Kanak-kanak dengan Kemahiran Hidup

“Kanak-kanak tidak mempunyai kemahiran hidup yang lazimnya dipelajari semasa memasuki fasa dewasa. Kita perlu mencetuskan kesedaran diri yang boleh disesuaikan dengan perwatakan tersendiri kanak-kanak ini.

“Sebab itu, kami anjurkan SuperCamp yang menyatukan pelajar dari pelbagai latar belakang akademik yang boleh dibentuk dengan keperibadian yang dinamik dan positif masing-masing.

“Sebagai sebahagian daripada legasi MHF, kami menyokong usaha yang membantu membiayai dan mengenalpasti bakal pemimpin yang prihatin untuk generasi hari ini dan masa hadapan.

“Kami mahu mencungkil bakat baharu di Malaysia menerusi program SuperCamp, sama ada mereka menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang akademik ataupun kemahiran vokasional, kerana negara kita memerlukan dua golongan ini.

“Kanak-kanak ini berusia dalam lingkungan 10 hingga 19 tahun, iaitu dalam fasa yang paling penting untuk membentuk perwatakan mereka apabila dewasa kelak,” kata Henry Teh Kok Kheng, Pengarah Eksekutif MHF yang juga menerajui SuperCamp Malaysia sebagai Pengarah dan Penganjur..

Mencipta impak lebih besar menerusi keterangkuman

MHF turut menjalinkan usahasama dengan Teach for Malaysia (TFM), sebuah organisasi yang komited terhadap kesamarataan dalam pendidikan dan telah mengenalpasti 7 pelajar yang layak menerima biasiswa untuk menyertai SuperCamp.

“Kami melaksanakan sebuah sistem untuk memanjangkan peluang seperti ini kepada pelajar dari golongan yang kurang berkemampuan.

“Kekangan dalam kewangan untuk membiayai program seperti ini tidak seharusnya menjadi alasan yang menghalang mereka untuk terus maju dan mencapai kejayaan pada masa akan datang.

“Kami berharap, bermula dari tahun 2024, kami dapat menambah bilangan penerima biasiswa ini kepada sekurang-kurangnya 50 pelajar setiap tahun,” tambah Teh.

Teh juga berharap supaya ibu bapa yang mempunyai anak-anak berkeperluan khas mempertimbangkan SuperCamp sebagai satu jalan untuk meningkatkan kecemerlangan mereka.

Katanya, kaedah pembelajaran SuperCamp telah diterima pakai di sekolah-sekolah di Amerika Syarikat sebagai sebahagian kurikulum yang menjamin landskap pendidikan yang lebih terangkum dan boleh dinikmati oleh semua orang.

“Sejajar dengan peningkatan kesedaran terhadap keperluan khas di Malaysia, kita perlu mengambil kira kanak-kanak ini sebagai anggota masyarakat dan menyediakan kemahiran hidup supaya mereka boleh menjalankan kehidupan normal

“Pasti ramai yang tidak menyangka bahawa kanak-kanak yang mengalami disleksia dan sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (“attention deficit-hyperactivity disorder/ADHD”) sebenarnya menunjukkan kecemerlangan dalam elemen SuperCamp kerana mereka boleh menjadikan keunikan mereka sebagai kekuatan tersendiri,” tambah Teh.

Kali ini, SuperCamp Malaysia dihadiri oleh 23 pelajar dari sekolah rendah dan menengah di seluruh dunia

Menurut Teh, mereka menerima penyertaan dari Malaysia, Singapura, Brunei, Vietnam dan Kanada. Dia berhasrat untuk meluaskan pendekatan SuperCamp untuk mendekati lebih ramai ibu bapa, pelajar universiti dan syarikat swasta pada masa akan datang.

Mengukuhkan institusi kekeluargaan menerusi penyertaan dan sokongan ibu bapa

Chandra Mohan Sellappan dan anak lelakinya yang berusia 14 tahun bernama Nishant berasal dari Teluk Intan, Perak amat teruja kerana SuperCamp telah menyambung semula operasinya sejak perintah kawalan akibat pandemik COVID-19.

Mohan juga menyedari kepentingan membina jati diri dalam kalangan generasi muda yang telah terjejas secara fizikal dan mental selepas hampir 2 tahun ‘terkurung’ di rumah menjalani pembelajaran jarak jauh dengan interaksi bersemuka yang terhad.

“Pandemik COVID-19 telah memberi banyak impak negatif terhadap kanak-kanak secara umumnya. Saya sendiri melihat kesukaran yang anak-anak saya hadapi mengikuti kelas dalam talian hingga menyukarkan perhubungan sosial dan rasa kemanusiaan.

“Ramai kanak-kanak yang tertekan kerana pendedahan mereka terhad pada benda yang terpapar pada skrin komputer sahaja.

“Saya memang berhasrat untuk menghantar Nishant ke SuperCamp selepas anak sulung saya yang kini berusia 19 tahun berkongsi pengalaman menarik menyertainya 7 tahun lepas. Kini, program itu telah disambung semula, saya amat berbesar hati dapat menghantar anak lelaki saya ke sini”.

“Anak saya sebenarnya seorang pelajar cerdik dengan minat mendalam dalam muzik piano dan bermain badminton. Saya berharap selepas menghadiri SuperCamp dia dapat memfokuskan diri dan membuat penilaian dari segi pemikiran dan pembelajaran secara lebih sistematik.

“Saya juga amat gembira kerana pihak kerajaan kini mula memberi perhatian terhadap pembinaan jati diri dalam sistem persekolahan yang sebelum ini terlalu menumpukan ke arah kecemerlangan akademik semata-mata,” kata akauntan yang berusia 48 tahun itu.

Le Van Hung, 50 dan isteri, Nguyen Thi Lien, 46 amat berbangga dengan anak mereka Le Nguyen Luu Ann yang berusia 15 tahun. Lu Ann merupakan seorang pelajar di Sekolah Antarabangsa Fairview yang aktif dalam pelbagai aktiviti sekolah termasuk sukan dan muzik tanpa menjejaskan prestasi akademiknya.

Bagaimanapun, mereka bimbang kerana jadual Luu Ann yang padat menghalangnya untuk menghabiskan masa dengan ahli keluarga.

Menurut Nguyen, anak bongsu mereka kini sedang melalui fasa yang menyebabkan Luu Ann enggan berkomunikasi secara terbuka bersama ahli keluarganya.

Ibu bapa Luu Ann turut menganjurkan aktiviti tetap setiap minggu untuk terus mengeratkan hubungan mereka antara satu sama lain.

“Saya mencari program sekolah untuk Luu Ann hadiri. Terus saya teringat anak perempuan sulung saya yang pernah menghadiri SuperCamp di Singapura.

“Jadi, saya melakukan penyelidikan dan disitu saya mengetahui bahawa SuperCamp juga dianjurkan di Malaysia,” kata Le yang bekerja dalam bidang minyak dan gas asli.

“Keluarga kami telah banyak menabur dalam pendidikan awal untuk kedua-dua anak perempuan kami. Kami mahu mereka dilengkapi dengan kemahiran sosial dan pengurusan masa yang boleh menjamin kerjaya cemerlang pada masa akan datang.

“Pada masa yang sama, anak bongsu kami sedang merasakan dia sudah cukup matang untuk berdepan dengan cabaran dalam dunia,” tambahnya.

“Ibu bapa di Asia telah banyak berkembang dari aspek evolusi sosial sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kami tidak berpeluang menikmati semua ini semasa kami masih kecil.

“Malah ibu bapa zaman ini tidak lagi memaksa anak-anak untuk memfokuskan terhadap pembelajaran semata-mata. Sebenarnya banyak lagi cara untuk mendidik dan belajar bersama Luu Ann sesuai dengan generasinya yang bijak”.

“Saya tahu sebenarnya Luu Ann menunjukkan kecemerlangan di sekolah bersama rakan-rakannya. Saya cuma mahu dia berehat sebentar untuk menikmati zaman kanak-kanaknya,” kata Nguyen sambil tertawa.

Bagi Azrina Mohamad Aziz dan suaminya, Ramzul-Zafran Mohamad, kedua-duanya berusia 47 tahun, berasa teruja untuk menghantar anak perempuan mereka yang berusia 14 tahun, Nur Aliya Farhana ke SuperCamp.

“Di rumah, Aliya seorang yang pendiam dan banyak menghabiskan masanya dengan telefon bimbitnya. Kami juga memahami situasi ini tercetus kerana kami terpaksa meluangkan lebih banyak masa menjaga anak kedua kami, yang dilahirkan sebagai anak istimewa.\

“Pada masa yang sama, adik Aliya lahir hingga Aliya mengalami ‘sindrom anak tengah’. Akibatnya, Aliya mula menjauhkan diri sehingga mengganggu pencapaian akademiknya,” tambah Azrina.

“Kami menyedari yang kami perlu memecahkan kepompong Aliya supaya dia boleh berhubung semula dengan kami sebagai sebuah keluarga. Kira-kira 5 atau 6 tahun lepas,

“Kami menyedari yang kami perlu memecahkan kepompong Aliya supaya dia boleh berhubung semula dengan kami sebagai sebuah keluarga. Kira-kira 5 atau 6 tahun lepas, kami menghantar anak sulung kami ke kem seperti ini dan kami amat kagum dengan perubahan ketara yang ditunjukkan.

“Sebab itu kami mencari kem ini secara dalam talian hingga terjumpa mengenai SuperCamp. Harapan kami program ini dapat memupuk motivasi positif dalam diri Aliya, memberi panduan yang lebih baik dalam kehidupannya serta membantunya menangani cabaran di rumah dan sekolah,” tambah Azrina lagi. – MalaysiaGazette