Zetty Hot FM kini bergelar isteri Beto

Kuala Lumpur: Perkenalan di media sosial membawa penyampai radio Hot FM, Zetty Nabila dan bekas pemain skuad bola sepak Perak, Beto ke fasa perkahwinan.

Zetty dan Beto atau nama sebenar, Ahmad Khairil Anuar selamat diijabkabulkan di Pejabat Agama Islam Daerah Sepang pada jam 10.30 pagi semalam.

Pasangan ini dinikahkan bapa Zetty iaitu Muhamad Ghazali Mohd Sali. Pengantin perempuan menerima mas kahwin sebanyak RM300, sebentuk cincin selain perhiasan serba berdiri serta wang hantaran yang dipersetujui oleh kedua-dua buah keluarga.

Zetty berkata bahawa dia dan Beto berkenalan melalui media sosial sejak akhir tahun lalu sebelum sepakat untuk mengikat tali pertunangan pada Ogos lalu.

Menurut Zetty, Beto telah mengajaknya berkahwin ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Sejurus tamat majlis akad nikah, pasangan itu diraikan dalam satu majlis sederhana di kediaman Zetty berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih berkuatkuasa.

“In sha Allah majlis resepsi akan diadakan tahun depan,” katanya.

Tambah Zetty, Beto akan berpindah ke Selangor selepas pertukarannya ke salah sebuah kelab bola sepak di Lembah Klang.

Akmal Hakim
Glamour Desk

Scroll to Top