Ziarah raya: Lima individu dipanggil polis Kelantan

Ziarah raya: Lima individu dipanggil polis Kelantan

KOTA BHARU: Lima individu sudah dipanggil bagi membantu siasatan mengenai satu laporan polis berkaitan majlis hari raya yang diadakan di sebuah rumah seorang ahli politik di Machang dekat sini baru-baru ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat, ketika dihubungi mengesahkan sudah menerima laporan berkaitan aktiviti ‘ziarah raya’ itu pada Sabtu lalu.

Sehubungan itu, beliau berkata polis telah menjalankan siasatan mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2021.

“Laporan dibuat oleh orang awam berdasarkan penyebaran beberapa keping gambar ahli politik melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mengadakan ziarah raya.

“Setakat ini lima individu sudah dipanggil bagi membantu siasatan termasuk mereka yang ada dalam gambar disebarkan itu,” katanya.

Beliau berkata laporan itu juga adalah yang pertama diterima berkaitan pelanggaran SOP ziarah raya di negeri ini.

“Selain itu, siasatan juga turut dilakukan berkaitan kesalahan tidak memakai pelitup muka seperti mana gambar yang tersebar,” katanya. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top