Zii Jia akui persiapan pemain China penuh misteri

JAGUH perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menegaskan akan sentiasa berwaspada dengan persiapan pemain dari China menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang sehingga kini disifatkannya masih menjadi misteri berikutan tidak menyertai sebarang kejohanan dalam tempoh 16 bulan lalu.

“Sampai sekarang kekuatan pemain China masih menjadi misteri dan bagi saya perkara ini turut diberikan perhatian oleh pemain-pemain lain.

“Semua pun nak tengok bagaimana persembahan, prestasi mereka (pemain) China ini kerana tanpa menyertai apa-apa kejohanan, mereka terus sertai Olimpik.

“Saya sendiri juga keliru bagaimana mereka berlatih. Apa pun, kita kena tengok juga perkara ini,” katanya menerusi sidang media atas talian pada Rabu.

Bagaimanapun tambah Zii Jia, dia akan sentiasa bersedia untuk berdepan dengan mana-mana pemain pada Tokyo 2020 dalam usaha muncul selaku antara pemain terbaik di dunia suatu hari nanti.

“Macam saya pernah kata sebelum ini, untuk menjadi pemain terbaik, kita perlu berdepan dengan sesiapa sahaja, tanpa mengira siapa lawan kita.

“Kita juga perlu menewaskan pemain-pemain badminton lain sebelum layak digelar pemain terbaik dunia,” katanya pada sidang media menerusi dalam talian pada Rabu.

Ketika ditanya apakah dia akan menggunakan teknik backhand smash yang sinonim dengan dirinya sebagai pemain badminton pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 kelak, Zii Jia berkata, perkara itu setelah temasya sukan terbesar dunia itu bermula.

Malah katanya, teknik berkenaan juga bergantung kepada situasi semasa dirinya termasuk percaturan strategi yang akan digunakan kelak.

“Rasanya, ramai pun dah tahu mengenai backhand smash saya ini. Saya pun tak tahu sama ada ia akan menjadi atau tidak di Tokyo.

“Apa pun, ia akan mengikut situasi semasa saya selain strategi yang disusun nanti,” katanya.

Sementara itu Zii Jia mengakui memang teruja untuk beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti setelah penangguhannya sebelum ini.

Katanya, penganjuran Tokyo 2020 sememangnya dinanti-nantikan kerana ia disifatkan sebagai temasya sukan terbesar yang disertainya sejak bergelar pemain badminton negara.

“Saya memang gembira dan teruja apabila Tokyo 2020 ini diteruskan. Kalau tengok tahun lalu, memang ada kemungkinan untuk dibatalkan.

“Oleh itu, bila ia diteruskan saya memang gembira selain turut bermotivasi untuk memberikan yang terbaik. Lagi pun, ia sesuatu yang besar dalam karier saya sebagai pemain badminton,” katanya.