Zii Jia semakin kental

Zii Jia semakin kental

Oleh Saiful Affendy Sapran

saifulaffendy@hmetro.com.my

FOTO Mohd Fadli Hamzah

Sepang: Tahap kekuatan mental dan keyakinan pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia semakin baik sehingga membantunya untuk memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024.

Jurulatihnya, Wong Tat Meng berkata, Zii Jia sudah menunjukkan perkembangan positif itu sebelum bermulanya Paris 2024 lagi.

Pemain yang menduduki ranking ketujuh dunia itu meraih gangsa selepas menewaskan pemain India, Lakshya Sen 13-21, 21-16, 21-11 pada aksi penentuan gangsa di Porte de La Chapelle Arena, Isnin lalu.

Terdahulu Zii Jia terlepas peluang untuk mara ke pentas final selepas tewas kepada jaguh Thailand, Kunlavut Vitidsarn pada aksi separuh akhir.

“Dia menunjukkan kebangkitan yang bagus di kejohanan besar seperti Olimpik terutamanya selepas kekalahannya di separuh akhir. Sejujurnya, saya sangat gembira kerana dia dapat segera bangkit.

“Anda boleh lihat prestasinya semakin meningkat pada kejohanan-kejohanan sebelum itu (Olimpik) sehinggalah sekarang,” katanya sebaik tiba di di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini dari Paris.

Turut pulang adalah pemenang pingat gangsa pertama negara di Paris iaitu beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah serta pemain beregu campuran negara, Chen Tang Jie.

Kepulangan mereka disambut oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Belia dan Sukan, Dr K Nagulendran serta penyokong badminton negara.

Sementara itu mengulas perancangan seterusnya untuk Zii Jia, Tat Meng berkata pemain berusia 26 tahun itu sememangnya sudah mempunyai perancangan rapi sehingga hujung tahun ini.

“Ada kejohanan yang akan disertai selepas itu, yang pertama adalah Terbuka Jepun (20 hingga 25 Ogos),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top