ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Hasrat jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk kembali beraksi dalam saingan di Masters Kumamoto minggu depan tidak kesampaian apabila dia terpaksa menarik diri susulan masalah kecederaan belakang yang masih belum pulih sepenuhnya.
Pemain berusia 26 tahun itu sebelum ini dijangka membuat kemunculan semula di Jepun selepas berehat panjang daripada siri kejohanan Eropah, namun semakan di laman rasmi pertandingan hari ini mengesahkan namanya berada dalam senarai penarikan diri.
Ketiadaan Zii Jia turut menyaksikan beberapa nama besar lain menarik diri termasuk pemain nombor dua dunia, Anders Antonsen, juara Olimpik dua kali Viktor Axelsen, dan bintang Indonesia, Jonatan Christie.
Kali terakhir Zii Jia beraksi adalah pada Masters China, September lalu, namun terpaksa menarik diri pada pusingan pertama menentang wakil Taiwan, Lin Chun Yi, selepas mengalami kesakitan pada bahagian belakang.
Sejak itu, bekas juara Seluruh England itu tidak beraksi di Artik, Denmark, Perancis dan Terbuka Hylo bagi memberi tumpuan kepada proses pemulihan.
Namun, penarikan diri terbaharunya menunjukkan kecederaan berkenaan masih membelenggu dirinya.
Sementara itu, Leong Jun Hao (ranking ke-22 dunia) dan Justin Hoh (ke-36) bakal menggalas cabaran negara dalam kejohanan bertaraf Super 500 itu yang dijadual berlangsung dari 11 hingga 16 November.
© New Straits Times Press (M) Bhd
