Zizie Ezette Semakin Kuat Hadapi Pemergian Suami – “Saya Nak Abang Tengok Saya Lebih Bahagia”

Zizie Ezette Semakin Kuat Hadapi Pemergian Suami – “Saya Nak Abang Tengok Saya Lebih Bahagia”

Pelakon, Datin Seri Zizie Ezette berkongsi luahan hati tujuh hari selepas pemergian suami tercinta, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang meninggal dunia pada 5 Disember lalu.

Menerusi hantaran di Instagram Story (IGs), Zizie mengakui masih merindui arwah namun sedikit demi sedikit sedang belajar menerima takdir pemergian suaminya itu.

“Apa yang saya nak katakan ini bukan bermaksud saya kurang merindui awak. Sudah tujuh hari awak pergi, dan hari ini… saya dapati diri saya mampu senyum sedikit, ketawa sedikit. Hati saya rasa sedikit lebih ringan.

“Bukan kerana cinta itu semakin pudar, tetapi kerana saya perlahan-lahan menerima bahawa awak benar-benar sudah tiada… dan saya mahu awak melihat saya sedikit lebih bahagia,” tulisnya.

Menurut Zizie, sepanjang tempoh itu dia banyak memendam kesedihan dan berdoa dalam diam.

“Awak tahu selama ini saya berkabung, bersedih, dan terasa seperti hancur dalam diam. Tapi untuk tahlil hari ketujuh ini, saya cuba untuk menjadi lebih kuat demi awak. Saya tahu awak tak mahu lihat saya sedih sepanjang masa.

“Walaupun ada rasa bersalah apabila saya tersenyum atau merasa sedikit bahagia, saya tahu awak akan jadi orang pertama yang menyuruh saya terus hidup, ketawa dan bergerak ke hadapan,” katanya.

Zizie turut mengenang sifat arwah suaminya yang sentiasa positif dan berbuat baik kepada orang sekeliling.

“Malam ini kami berkumpul untuk mengenang awak, kebaikan awak, hati pemaaf awak, semangat ceria awak, dan bagaimana awak selalu memilih untuk bersangka baik terhadap orang,” luahnya.

Sebelum ini, Zizie turut berkongsi rasa terharu apabila semakin ramai tampil menceritakan kebaikan arwah Bung Moktar, termasuk bantuan yang dilakukan secara senyap tanpa pengetahuan umum.

Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.46 pagi, Jumaat, di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.

Pemergian beliau turut mendapat pelbagai reaksi serta ucapan takziah daripada rakan politik, sahabat dan masyarakat yang mengenang jasanya kepada rakyat.

Artikel Berkaitan: Akaun Palsu Kongsi Video Dengan Arwah Suami, Zizie Ezette Tegaskan Hanya Ada Satu Media Sosial Aktif

Artikel Berkaitan: Zizie Izette Masih Berkabung, Akui Rindu Arwah Suami Tidak Pernah Surut

Scroll to Top