100,000 pengunjung dijangka guna feri ke Langkawi

100,000 pengunjung dijangka guna feri ke Langkawi

LANGKAWI: Operator feri ke Pulau Langkawi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd. menjangkakan kira-kira 100,000 pengunjung akan menggunakan perkhidmatan feri penumpang ke pulau peranginan ini sempena cuti sekolah dan cuti Hari Raya Aidiladha.

Pengurus Operasi Ferry Line, Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, sebanyak 120 trip normal dan 53 trip tambahan dijadualkan bermula 21 Mei hingga 7 Jun depan bagi menampung peningkatan jumlah penumpang.

“Sehingga kini sebanyak 99,128 tiket telah terjual menerusi penjualan dalam talian, tiket di kaunter serta tempahan awal bagi laluan Langkawi-Kuala Perlis-Langkawi dan Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, operasi feri penumpang akan bermula seawal pukul 7 pagi hingga 7 malam dan boleh dilanjutkan sehingga pukul 10 malam bergantung kepada permintaan semasa.

“Walaupun berdepan krisis geopolitik global serta peningkatan kos bahan bakar, keadaan itu tidak menjejaskan minat pengunjung untuk memasuki Pulau Langkawi dengan memilih pelbagai pakej percutian yang ditawarkan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan membeli tiket lebih awal secara dalam talian menerusi aplikasi Cuti-Cuti Langkawi bagi mengelakkan kehabisan tiket sepanjang musim cuti.

Tambahnya, pihak syarikat akan memastikan tahap kesiapsiagaan operasi feri berada pada tahap terbaik sepanjang tempoh cuti sekolah dan Aidiladha. – UTUSAN

Scroll to Top