12 lagu layak ke AJL ke-35

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Shah Alam: 12 lagu ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-35 telah diumumkan hos iaitu Sherry Alhadad dan Haziq Hussni dalam Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) ke-35 episod ketiga di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral semalam.

Antara lagu yang layak adalah Belenggu Rindu ciptaan Hael bersama Ezra Kong yang dinyanyikan Datuk Jamal Abdillah dan Wany Hasrita. Selain itu, lagu Hati ciptaan Hael bersama Ezra dan Peluang Kedua ciptaan Hael bersama MFMF turut berjaya ke AJL 35.

Di samping itu, dua lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza yang didendangkan penyanyi lain turut mara ke AJL 35 yang akan disiarkan secara langsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 7 Februari depan. Lagu itu adalah Aku Bidadari Syurgamu ciptaan Ippo Hafiz nyanyian Aishah dan 7 Nasihat nyanyian Shiha Zikir, Kmy Kmo dan Luca Sickta.

Tambahan lagi, lagu Gundah (Ernie Zakri ciptaan Ernie Zakri dan Sharon Paul), Eh (Zizi Kirana ciptaan Zizi, Navigator dan Mambang) serta Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter ciptaan Dark) juga menempah tiket ke pentas AJL 35.

Turut layak adalah adalah Floor 88 ciptaan Zai Hamzah dan Achoi. Juga bakal bersaing adalah Kau Sakiti dendangan Amir Masdi ciptaan Faizal, Mike, Ezra, Romeo dan Mage serta Gila (Kaka Azraff, Noki dan Loca B ciptaan Noki, Loca B dan Ezra).

Sebelum ini, dua episod SFMM35 telah berlangsung pada 20 dan 21 November lalu di lokasi sama. 30 lagu hasil undian peminat melalui carta Muzik Muzik 35 bersaing pada SFMM35. Juri profesional yang mengadili SFMM35 adalah komposer Ajai, Edrie Hashim, Datuk Mokhzani Ismail, Fauzi Marzuki, Helen Yap, AG Coco dan Azmeer (ketua juri).

Sumber: BH Online

Akmal Hakim
Glamour Desk