bhnews@bh.com.mu
GEORGETOWN: Sebanyak tujuh daripada 13 motosikal hangus dalam kebakaran di kawasan parkir di Flat Pinang Emas, Batu Ferringgi, di sini, awal pagi hari ini.
Dalam kejadian itu, api berjaya dipadamkan oleh penduduk dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang tiba di lokasi, tidak lama kemudian.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian pada 3.20 pagi.
Katanya, ketika tiba di lokasi, api didapati sedang merebak dan sebahagian daripada kenderaan itu hangus.
“Tujuh daripada motosikal itu hangus, manakala enam lagi mengalami sedikit kerosakan. Sebuah kereta Perodua Myvi turut terjejas akibat terkena bahang api,” katanya.
Katanya, setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan dan pemilik kenderaan diminta tampil ke balai polis bagi membuat laporan.
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.26 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal dihantar ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, api berjaya dipadamkan dengan bantuan penduduk dan pemantauan dilakukan bagi memastikan kebakaran dipadamkan sepenuhnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



