am@hmetro.com.my
Sibu: Seramai 150 individu dari 15 rumah di Kampung Hilir di Jalan Kampung Hilir di sini hilang tempat berteduh selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran yang berlaku petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak dalam kenyataannya hari ini berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral dengan bantuan BBP Sungai Merah dan BBP Sibu Jaya bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran pada jam 6.43 petang.
“Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan keseluruhan struktur kediaman jenis tidak kekal.
“Api berjaya dikawal dalam masa satu jam iaitu pada jam 7.57 malam. Tiada kemalangan jiwa dan semua penghuni berjaya menyelamatkan diri,” katanya.
Tambahnya, punca kebakaran serta anggaran kerugian yang dialami kesemua mangsa terjejas masih lagi dalam siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




