zaidim@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Enam belas tahun membina reputasi dalam persada seni, sejak kehidupan ‘single’ hingga beranak tiga, aktres Fasha Sandha masih ampuh dan menjadi rebutan syarikat produksi serta stesen televisyen (TV).
Malah, Fasha yang diakui penerbit antara artis berdisplin dan fokus setiap kali melangkah ke set penggambaran, kini berada dalam liga tersendiri.
Hakikatnya, bukan mudah untuk Fasha atau nama penuh, Nur Fasha Sandha Hassan terus relevan, apatah lagi dalam kebangkitan bakat baharu termasuk melalui platform digital dan media sosial.
Namun, isteri kepada pelakon, Aidil Aziz ini mampu mengharunginya. Fasha yang ketika ini hangat dengan drama Scammer memegang watak Nisa, menganggap sekarang bukan soal persaingan atau populariti difikirkan yang hendak dirisaukan.
“Saya masih Fasha yang mengutamakan disiplin dan komitmen dalam bekerja… Tiada yang berubah. Saya tidak boleh berkompromi dalam soal mencari rezeki. Itulah periuk nasi saya selain memenuhi tuntutan menjadi duta jenama dan produk.
“Disiplin dan komitmen kena kekal sampai bila-bila. Dua perkara itu perlu ada pada tangga pertama selain bakat yang terus digilap. Saya memanfaatkan saat getir seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membuat kajian karakter bagi watak yang hendak dibawa seterusnya.
“Ada beberapa tawaran berlakon yang menanti sebaik sektor seni kembali dibuka untuk memulakan penggambaran,” katanya kepada BH Online.
Pernah mengecapi zaman kegemilangan termasuk meraih trofi kategori Pelakon Filem dan Televisyen (TV) tujuh kali, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH), Fasha mengaku dirinya tidak pernah cukup ilmu lakonan.
“Ilmu tidak akan putus sampai bila-bila. Jadi, kalau ada masa terluang, saya curi kesempatan untuk masuk kelas lakonan atau buat ‘homework’ sendiri.
“Semua atas inisiatif dan usaha kita sendiri. Sekarang, semua benda di hujung jari di mana capaiannya di internet. Boleh sahaja mencari input mengenai ilmu lakonan sebagai bekalan dan panduan melalui internet,” katanya.
Mengenai drama Scammer, kakak kepada Elisya Sandha ini bersyukur ‘jodoh’ bersama syarikat produksi Radius One Sdn Bhd, ‘melekat’.
Drama 20 episod itu itu disiarkan Astro Ria setiap Isnin hingga Khamis jam 11 malam sejak 24 Mei lalu.
“Sebelum ini, banyak tawaran syarikat produksi terbabit tidak dapat saya penuhi… Tiada rezeki. Namun, sudah tuah saya untuk berlakon dalam drama kali ini.
“Saya rasa seronok bekerja di bawah ‘orang kuat’ produksi iaitu Shahrulezad Mohameddin biarpun beliau tidak berada di kerusi pengarah. Drama ini sebaliknya diarahkan Encik Labu atau nama penuh, Norhanisham Muhammad,” katanya.
Fasha bersyukur semua pelakon memberi komitmen terbaik.
“Kamal Adli, Siti Saleha, Arash Mohd, Jay Iswazir, Didie Alias dan ramai lagi semuanya ‘power’. Malah, Arash yang memegang watak bapa saya tidak lokek berkongsi ilmu,” katanya memegang watak Nisa yang berbadan dua dalam drama berkenaan.
Bercerita mengenai karakter Nisa, Fasha berkata, dia perlu bermain emosi dalam menghidupkan watak berkenaan.
“Nisa tidak tahu suaminya, Joe lakonan Kamal terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram. Nisa pada asalnya wanita periang, namun, banyak bermain emosi sebab dia hamil,” katanya.
Fasha berkata, Scammer sarat dengan pengajaran, bukan sekadar hiburan buat penonton.
“Saya banyak belajar mengenai isu pengubahan wang haram daripada skrip. Saya baru faham isu dibangkitkan dengan mendalam selepas meneliti skrip.
“Sebagai pelakon, saya juga meletakkan diri sebagai penonton dan mendapati cerita ini banyak pengajaran yang boleh diambil teladan.
“Paling penting, jangan mudah percaya kepada orang lain. Usah mudah tertipu. Sebab dunia sekarang sukar diramal terutamanya menerusi panggilan telefon.
“Selidik dahulu dan jangan mudah menyerahkan segala-galanya kepada orang lain, terutama individu yang tidak dikenali,” katanya.
Mengalih bicara sisi peribadi, Fasha mengaku sangat bahagia memikul tanggungjawab sebagai ibu dan isteri.
“Saya tidak boleh hendak mengandaikan kehidupan ini sudah cukup sempurna. Ini kerana tiada sesiapa sempurna dalam dunia ini.
“Cuma saya boleh katakan sangat bahagia dalam bersederhana. Itu yang saya damba sejak dahulu. Pandemik COVID-19 yang memasuki tahun kedua ini terselit hikmah indah. Ia menjadi ujian yang membuka mata. Saya dapat melihat anak membesar di depan mata ketika pandemik ini.
“Banyak masa bersama anak dan suami dapat diluangkan sebab tidak boleh menjalani penggambaran. Ini mengeratkan silaturahim dan ikatan kekeluargaan,” katanya.
Fasha berkata, anak-anak semuanya bijak dan mendengar kata. Malah, Fasha juga membiasakan diri dengan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dua anaknya iaitu Putra Rayfal Ramli dan Putri Raysha Jemyma.
“Mereka juga faham situasi pandemik contohnya kena belajar dalam talian. Ini bukan mudah terutama untuk Jemyma. Tahun lalu, hendak suruh Jemyma fokus bukan mudah. Sampai tahap saya terpaksa bertegas untuk memastikan dia fokus.
“Bayangkan, tahun lalu, Jemyma baru berusia lima tahun. Memang susah hendak fokus dan ‘masuk’ segala ilmu. Tetapi, lama-kelamaan dia boleh ‘catch up’. Rayfal yang berusia lapan tahun pula dilihat dapat mengikuti PdPR dengan baik,” katanya.
Bercerita mengenai si bongsu, Aisha Amaira, hasil perkongsian hidupnya dengan Aidil, Fasha berkata:
“Aisha sudah hendak masuk 10 bulan usianya. Dia sudah boleh berdiri, bertatih dan mula menunjukkan kemampuan untuk berjalan.
“Agak cepat juga fasa tumbesarannya. Kalau hendak dibandingkan dengan kakaknya, usia setahun dua bulan baru boleh berjalan,” katanya.
Fasha dan Aidil bernikah pada 30 Mac 2019. Muncul kali pertama dalam filem Black Maria pada 2003 sebagai pelakon tambahan. Ini disusuli filem komedi muzikal Bintang Hati pada 2004.
Pernah meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik Drama, Anugerah Skrin (ASK) 2017 melalui drama Terima Kasih Ramadan siaran TV3.
© New Straits Times Press (M) Bhd
