1,828 kes baharu, 2,486 kes sembuh, lima kematian

Putrajaya: Jumlah kes baharu COVID-19 kembali menurun bawah 2,000 iaitu sebanyak 1,828 kes dilaporkan hari ini, angka terendah sejak Ordinan Darurat dilaksanakan pada 11 Januari lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dengan pertambahan kes baharu itu ia menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 302,580.

Daripada jumlah kes yang dikesan hari ini, katanya, terdapat tujuh kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Johor mencatatkan kes harian tertinggi hari ini dengan 490 kes baharu, diikuti Selangor iaitu 453 kes dan Sarawak pertambahan 220 kes baharu.
“Ia menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 sebanyak 25,542 kes,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, 198 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 90 daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sehingga kini lima kematian dilaporkan manakala bagi jumlah kes sembuh pula sebanyak 2,486 dicatatkan, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19, 275,903 kes.

Malay News
National Desk