186 kes baharu varian Omicron dilaporkan sejak 14 Jan – KP Kesihatan

Sebanyak 186 kes baharu varian Omicron dilaporkan sejak 14 Jan lepas hingga hari ini oleh pelbagai institusi kesihatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata Integrative Pharmacogenomics Institute Universiti Teknologi Mara (iPROMISE-UiTM) mengenal pasti 46 kes baharu, The Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre Universiti Malaya dan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGI) masing-masing 43 kes, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) (28) manakala Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-UNIMAS) (26).

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mempunyai kepentingan (VOI) adalah sebanyak 6,432 kes.
“Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 6,412 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kes baharu COVID-19 menunjukkan peningkatan dengan 3,245 kes dilaporkan hari ini berbanding 2,342 semalam, menjadikan kes kumulatif dijangkiti wabak itu adalah 2,813,934  setakat 12 tengah hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan daripada jumlah kes baharu, sebanyak 98.8 peratus atau 3,206 kes adalah pesakit kategori satu dan dua manakala hanya 39 kes atau 1.2 peratus kategori tiga, empat dan lima.

“Kes sembuh pula adalah sebanyak  3,093 menjadikan jumlah kumulatif pulih daripada jangkitan wabak itu  kini  2,741,355 kes manakala 183 kes dirawat  di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 84 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata terdapat 17 kluster baharu dikesan hari ini menjadikan jumlah kluster aktif kini sebanyak 188 manakala nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) di negara ini adalah pada paras 0.98.

Sumber: Bernama