safeek@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, dan dua orang awam termasuk seorang wanita ditahan selepas terbabit menyamun sebuah kedai serbaneka di Kelana Jaya, Ahad lalu.
Dalam kejadian jam 7 pagi itu, suspek wanita berusia 36 tahun dilaporkan memasuki premis kedai serbaneka 7Eleven di kawasan SS 6, Kelana Jaya, dengan memakai ‘vest’ polis dan mengambil lima kotak rokok, pemetik api serta gula-gula dalam premis itu tanpa membuat sebarang pembayaran.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata pekerja kedai yang juga mangsa meminta suspek membuat pembayaran segera, namun suspek memberikan alasan pegawai atasannya akan datang membuat pembayaran dalam tempoh satu jam dan terus melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta peronda polis jenis Honda Civic.
“Hasil risikan dan maklumat, pada kira-kira jam 5 petang hari sama, sepasukan polis dari Balai Polis Kelana Jaya kemudian menahan dua anggota polis di IPD Dang Wangi, berusia 31 dan 38 tahun kerana disyaki terbabit dalam kes disiasat.
“Hasil siasatan susulan terhadap seorang daripada anggota terbabit, sepasukan polis dari Balai Polis Sea Park, menahan suspek wanita yang melakukan samun dan seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nik Ezanee, berkata semakan mendapati suspek wanita itu mempunyai tujuh rekod kes jenayah dan satu rekod kes dadah, manakala suspek lelaki mempunyai lima rekod kes jenayah serta lapan kes dadah.
Semua suspek ditahan reman tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara 14 tahun dan denda serta sebatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




