mhafis@mediaprima.com
Subang Jaya: Dua lelaki yang ditahan disyaki terbabit kes pecah rumah dan melanggar motosikal anggota polis di Jalan SS 14, di sini, direman antara empat hingga enam hari.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, suspek pertama berusia 40-an direman empat hari bermula hari ini, manakala suspek kedua berusia 30-an direman enam hari.
Menurutnya, suspek kedua yang dirawat di hospital juga selesai menjalani pembedahan bagi mengeluarkan serpihan peluru dan berada dalam keadaan stabil.
“Seorang anggota polis yang dirempuh semasa kejadian mendapat kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
“Hasil semakan rekod mendapati kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata, ujian air kencing kedua-dua suspek sudah diambil dan mereka positif methamphetamine.
“Mereka mengaku terbabit dengan kes yang disiasat dan semasa tangkapan turut dirampas barang-barang mangsa.
“Soal siasat lanjut kedua-dua suspek masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan kes-kes lain,” katanya.
Harian Metro semalam melaporkan polis menahan dua lelaki yang terbabit dalam kes pecah rumah dan melanggar motosikal anggota polis di Jalan SS 14, di sini, hari ini.
Anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta suspek sebelum mereka melarikan diri hingga ke Jejambat Jalan SS 14 namun berjaya ditahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




