20 murid tadika maut dalam kebakaran di Niger

20 murid tadika maut dalam kebakaran di Niger
Kebakaran bermula pada petang Isnin ketika kanak-kanak sedang belajar di dalam bilik darjah yang diperbuat daripada jerami.

NIAMEY: Sekurang-kurangnya 20 murid tadika terkorban dalam satu kebakaran di ibu negara Niger selepas terperangkap ketika sedang belajar.

Ketua pasukan bomba Sidi Mohamed berkata, kebakaran bermula pada petang Isnin ketika kanak-kanak sedang belajar di dalam bilik darjah yang diperbuat daripada jerami.

“Dua puluh bilik darjah di bangunan yang menempatkan kelas tadika hangus dijilat api yang meragut 20 nyawa kanak-kanak,” katanya dipetik AFP.

Menurut Reuters, semua murid terpaksa melompat tembok untuk menyelamatkan diri selepas pintu utama sekolah berkenaan turut dijilat api.

Murid yang maut adalah dari kelas tadika yang tidak sempat menyelamatkan diri.

Perdana Menteri Ouhoumoudou Mahamadou turut melawat lokasi kejadian dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Scroll to Top