bhnews@bh.com.my
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 30 kluster baharu hari ini, dengan 21 daripadanya membabitkan tempat kerja, lapan dalam kalangan komuniti dan satu kumpulan berisiko tinggi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sembilan kluster dikesan di Selangor, empat di Kuala Lumpur, tiga masing-masing di Kedah, Negeri Sembilan dan Johor serta dua kluster masing-masing di Kelantan, Sabah dan Sarawak.
Selain itu, satu kluster masing-masing dikesan di Perak dan Pahang.
Mengenai kluster di tempat kerja, Dr Noor Hisham berkata, ia membabitkan jangkitan pada pekerja kilang, syarikat perkhidmatan, pekerja ladang dan pasar raya.
Katanya, kluster di tempat kerja dikenali sebagai Kluster Tapak Bina Persiaran Aspirasi; Kluster Sungai Linau; Kluster Jalan Langat Utama Satu; Kluster Industri Jalan Kilang Bestari dan Kluster Industri Jalan Seruling 57.
Turut dikesan ialah Kluster Industri Rawang Perdana Satu; Kluster Industri Mahkota Beranang; Kluster Industri Jalan Udang; Kluster Jalan Haruan Tujuh; Kluster Perusahaan Pantai; Kluster Permata Satu 2; Kluster Jalan Sungai Antu dan Kluster Industri Murni Lapan.
“Kluster lain ialah Kluster Jalan Keluli Industri; Kluster Dah Industri Sungai Getah; Kluster Dah 3/5 Industri Sungai Petani; Kluster Paris Tiga; Kluster Taman Tun Dr Ismail serta Kluster Pulau Jaya Sembilan dan Kluster Sentral Triang.
“Bagi kluster komuniti ia dikenali sebagai Kluster Jalan Kubur; Kluster Pantai Ria; Kluster Taman Bukit Angkasa dan Kluster Kampung Kajang Sebidang; Kluster Taman Kurnia Jaya; Kluster Dah 30 Relong; Kluster Brumas Camp; Kluster Jalan Senai Jaya Satu dan Kluster Sungai Separai, manakala kluster kumpulan berisiko tinggi ialah Kluster Jalan Cox,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, bagi kes baharu hari ini sebanyak 5,841 kes penularan COVID-19 dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini meningkat ke 716,847 kes.
Beliau berkata, Selangor kekal mencatatkan kes harian tertinggi hari ini dengan 2,072 kes diikuti Negeri Sembilan dengan 781 kes, Sarawak (581); Kuala Lumpur (552); Johor (346); Kedah (271) dan Melaka (247).
“Semua negeri mencatatkan pertambahan kes baharu hari ini dan hanya Perlis melaporkan kes baharu satu digit iaitu lima kes. Sehingga kini sebanyak 61,6162 kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 di negara ini.
“Daripada jumlah itu, 889 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 438 kes masih memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.
Sementara itu, mengenai 84 kes kematian yang dilaporkan hari ini, Dr Noor Hisham berkata ia membabitkan 73 warganegara serta 11 warga asing dan kesemuanya berusia antara lapan tahun sehingga 90 tahun.
Pertambahan kes kematian itu menjadikan jumlah kumulatif di negara ini sebanyak 4,721 kes.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan sehingga jam 12 tengah hari ini terdapat 5,411 kes sembuh dilaporkan sekali gus menjadikan jumlah kes pulih di negara ini adalah 650,964 kes.
© New Straits Times Press (M) Bhd




