33 tahun hidup bagai 'pelarian', hasrat Amirul mahu kahwin tertangguh kerana tiada MyKad

33 tahun hidup bagai 'pelarian', hasrat Amirul mahu kahwin tertangguh kerana tiada MyKad

am@hmetro.com.my

Besut: Seorang lelaki terpaksa hidup bagaikan pelarian kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri sejak 33 tahun lalu.

Muhd Amirul Asyraf, 33, berdepan masalah itu selepas ibu dan bapanya tidak mendaftarkan kelahirannya kerana segala maklumat berkaitan sudah hilang ketika banjir melanda Rantau Panjang, Kelantan.

Lebih merumitkan keadaan apabila perkahwinan ibu bapanya iaitu Allahyarham Abdul Azis Yaacob dengan ibunya, Suryah Zakaria dipercayai diatur oleh sindiket perkahwinan dari Pattani, Thailand.

Perkahwinan itu dilakukan di Rantau Panjang, serta tidak didaftarkan di negara ini.

Dia yang menetap bersama ibu serta ahli keluarganya di Kampung Apal hanya sempat bersekolah sehingga darjah tiga atas ihsan guru.

Amirul berkata, ibunya pernah cuba membuat pendaftaran sijil kelahiran dan kad pengenalan untuknya namun gagal kerana tiada dokumen diperlukan iaitu pengesahan sijil nikah kedua orang tuanya serta dokumen kelahirannya.

“Saya juga sudah beberapa kali pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sejak tahun 2019 namun menghadapi masalah mengemukakan saksi kelahiran kerana bidan yang sambut saya difahamkan sudah meninggal dunia.

“Saya sangat memerlukan MyKad untuk semua urusan rasmi termasuk mahu berkahwin dalam waktu terdekat dan bukti sebagai warganegara,” katanya ketika ditemui di Kampung Apal, di sini, semalam.

Sementara itu, Suryah, 60, berkata, dia sudah berjuang beberapa kali cuba menyelesaikan masalah anaknya itu namun sehingga kini masih belum menampakkan hasil.

“Sebelum ini saya sering menemani anak ke JPN namun sejak setahun lalu saya pula diuji serangan angin ahmar ringan di badan sebelah kanan sehingga menyukarkan saya bergerak.

“Saya berharap sebelum saya menutup mata saya sempat melihat Amirul ada MyKad dan boleh melangsungkan perkahwinan dengan teman wanitanya yang setia menantinya sejak lapan tahun lalu,” katanya.

Katanya, kali terakhir mereka pergi ke JPN Besut pada Jun lalu untuk membuat carian daftar kelahiran Amirul namun tiada maklumat diperolehi.

Sebelum ini pada 2019 dan 2022 media pernah melaporkan Amirul terpaksa menangguhkan perkahwinan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta sijil kelahiran.

Lebih menyukarkan keadaan apabila dia tidak boleh bebas keluar dari kawasan kampung kerana tidak ada MyKad dan hanya mampu kerja kampung untuk menyara kehidupan keluarga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top