419 saman dikeluarkan dalam operasi di lebuh raya

419 saman dikeluarkan dalam operasi di lebuh raya

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 419 saman dikeluarkan dalam Op Bersepadu Luaran Peronda Lebuh Raya (EMPV) Zon Selatan 3 di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Skudai Skudai hala selatan, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Saperi berkata, operasi itu membabitkan pegawai dan 20 anggota daripada Cawangan Penguatkuasa Lebuhraya Zon Selatan 3.

Katanya, ia turut disertai 55 pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor (13) dan Polis Bantuan PLUS (12).

“Dalam operasi ini, JSPT mengeluarkan sebanyak 166 saman atas pelbagai kesalahan seperti pandu laju, tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

“Pihak JPJ Johor pula mengeluarkan sebanyak 253 saman membabitkan pelbagai kesalahan termasuk lapan lori yang ditimbang berat dalam operasi itu.

“Sementara itu, JIM Johor menahan 27 warga asing membabitkan 11 warga Indonesia, 12 warga India, dua warga Bangladesh dan masing-masing seorang dari Myanmar serta Pakistan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, operasi berlangsung 8 hingga 10.30 malam bertujuan memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas ditetapkan serta membanteras jenayah.

“Pihak JSPT secara berterusan akan melaksanakan operasi dan menjalankan program advokasi bagi melahirkan generasi pemandu serta penunggang yang mematuhi undang-undang lalu lintas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd