harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Peningkatan mendadak jumlah panggilan palsu mengganggu sistem kecemasan NG MERS 999.
Telekom Malaysia (TM) dalam kenyataan hari ini berkata, daripada kira-kira 70,000 panggilan diterima setiap hari, hanya lima peratus merupakan kecemasan tulen.
Menurutnya, jumlah itu mencatat peningkatan mendadak daripada kira-kira 50,000 panggilan harian diterima ketika sistem MERS999 yang digunakan sebelum ini sehingga menyebabkan proses migrasi terganggu.
“Hanya lima peratus daripada panggilan kecemasan diterima adalah tulen sementara selebihnya adalah panggilan palsu dan pemanggil senyap (tidak bercakap apa-apa).
“Peningkatan mendadak ini memberi kesan kepada prestasi sistem dan langkah segera sudah diambil untuk memulihkan perkhidmatan termasuk meningkatkan kapasiti serta mengoptimumkan konfigurasi pelayar.
“Sumber-sumber tambahan turut diatur bagi membantu pusat panggilan mengendalikan jumlah panggilan yang tinggi,” kata kenyataan itu hari ini.
TM berkata, NG MERS 999 diperkenalkan bagi menggantikan sistem kecemasan sebelum ini iaitu MERS999 yang digunakan sejak 17 tahun lalu, sekali gus bagi meningkat kebolehan teknikal sistem kecemasan negara.
Katanya, walaupun jumlah panggilan kecemasan tulen secara purata tidak berubah iaitu sekitar 3,500 kes sahaja sehari, namun panggilan palsu yang terlalu tinggi memberi kesan kepada sistem.
“Orang ramai digesa supaya menggunakan perkhidmatan 999 secara bertanggungjawab kerana setiap panggilan palsu berkemungkinan menghalang bantuan kecemasan disampaikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
“Pada masa sama, mengurangkan penyalahgunaan seperti itu akan meningkatkan tahap respons serta dan mampu beroperasi dengan efisien,” katanya.
TM memberi jaminan sedang berusaha sedaya upaya bagi memastikan setiap rakyat Malaysia menerima bantuan kecemasan secepat mungkin.
Katanya, mereka mengambil langkah proaktif dan bekerjasama dengan lima agensi kecemasan iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




