bhnews@bh.com.my
JOHOR BAHRU: Seramai 53 peniaga di negeri ini dikompaun RM7,550 kerana gagal mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 yang diperkenalkan sejak 21 April lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr Chong Fat Full berkata, 36 peniaga didapati melakukan kesalahan tidak mempamerkan tanda harga barangan yang dijual.
Beliau berkata, 12 kes lagi membabitkan peniaga berdegil menjual melebihi harga kawalan ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Katanya, lima kes pula membabitkan kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal.
“Secara keseluruhannya, seramai 200 anggota penguat kuasa melakukan 2,105 pemeriksaan termasuk 2,058 pemeriksaan di peringkat peruncit dan 47 pemeriksaan di peringkat pemborong,” katanya.
Dr Fat Full berkata berkata demikian selepas melakukan pemeriksaan dan tinjauan barang keperluan sempena SHMMP Hari Raya Puasa 2021 di Pasar Borong Pandan di sini, hari ini. Hadir sama, Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro.
Dr Fat Full berkata, bagi kesalahan gagal meletak tanda harga berwarna merah jambu bagi barang terkawal, kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000 dan syarikat didenda RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.
“Bagi kesalahan menjual barang harga terkawal melebihi harga maksimum, jika sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




