Penalti Bergson julang JDT

Penalti Bergson julang JDT

ALOR SETAR: Sepakan penalti Bergson da Silva pada minit akhir perlawanan sudah cukup untuk Johor Darul Ta’zim (JDT) terus selesa di persada liga dengan kemenangan 1-0 ke atas pencabar kejuaraan, Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Pertahanan tuan rumah, Renan Alves menjadi duri dalam daging selepas tindakannya yang menjatuhkan Mohamadou Sumareh menyaksikan mereka dihukum dengan sepakan penalti ketika saingan berbaki hanya empat minit.

Lebih malang, kekalahan 1-0 itu menyebabkan skuad Lang Merah hilang status sebagai pasukan di tangga kedua apabila dipintas Terengganu FC (TFC) yang meraih kemenangan 3-0 ke atas UiTM FC.

Sama hangat di atas padang, aksi panas ini turut ‘melarat’ sehingga ke tepi padang apabila sedikit pertengkaran berlaku membabitkan pemain dan pegawai kedua-dua pasukan di bangku simpanan sejurus babak pertama berakhir.

Pada aksi terbabit, JDT dilihat lebih rancak menyerang menerusi beberapa percubaan yang dilancarkan namun masih belum cukup untuk menggugat gawang tuan rumah sepanjang babak pertama.

Sebaliknya, KDA FC lebih berbahaya dan seharusnya mendahului sekurang-kurangnya dengan dua gol namun nasib tidak berpihak kepada mereka selepas terpaksa menamatkan 45 minit pertama tanpa gol.

Tampanan Rabih Ataya yang cuba menyudahkan hantaran Kpah Sherman pada minit keempat terkena tiang sebelum tandukan Sherman pada minit ke-40 sekadar menggegar palang JDT.

Ketika perlawanan seakan berakhir tanpa jaringan, sepakan penalti yang disempurnakan Bergson memastikan JDT pulang dengan mata penuh sekali gus mengelak daripada keciciran mata dalam tiga perlawanan berturut turut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top